DUNGUN: Seorang kakitangan Pejabat Perhutanan Daerah Dungun maut selepas kereta jenis Proton Waja yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori sejuk beku pada Sabtu.

Dalam nahas kira-kira jam 4 petang di Kilometer 65 Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Kampung Jerangau Sungai, di sini, mangsa Abdul Hannan Abdul Hadi, 22, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Manakala, pemandu lori berusia 37 tahun hanya mengalami kecederaan ringan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Supt Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Menurut Baharudin ketika insiden itu Abdul Hannan dikatakan dalam perjalanan dari arah Bandar Bukit Besi menuju ke Kampung Jerangau.

Jelasnya akibat kemalangan itu mangsa tersepit di bahagian pemandu dan telah dikeluarkan oleh pihak bomba.