MADINAH: Persiapan pembukaan Operasi Haji Madinah bagi musim 1447H berjalan lancar dan kini berada pada tahap kesiapsiagaan penuh untuk menerima kesemua 31,600 jemaah haji Malaysia.
Seramai 75 petugas telah tiba lebih awal di Madinah pada 12 April (24 Syawal 1447H) bagi memulakan gerak kerja operasi. Pasukan ini diketuai oleh Affandi Abdullah, Naib Konsul Haji merangkap Pengarah Operasi Madinah.
Advertisement
Daripada jumlah tersebut, 40 orang merupakan petugas kebajikan manakala 35 lagi terdiri daripada petugas perubatan, yang akan memastikan aspek kebajikan dan kesihatan jemaah sentiasa terpelihara.
Bagi musim ini, penempatan jemaah haji Malaysia di Madinah melibatkan tiga zon penginapan utama iaitu Hotel Emaar Royal (Zon 1), Hotel Anwar Al Madinah Movenpick (Zon 2) dan Hotel Emaar Elite (Zon 3). Hotel Emaar Elite yang merupakan bangunan terbaru terletak kira-kira 150 meter dari Masjid Nabawi.
Sementara itu, Pusat Pentadbiran Operasi Madinah kini beroperasi di lokasi baharu iaitu Hotel Zaha Taiba.
Kedudukan bangunan ini yang hampir dengan Masjid Nabawi, serta dilengkapi kemudahan moden termasuk dapur dan restoran yang lebih selesa, dijangka meningkatkan kecekapan pengurusan operasi.
Bangunan pentadbiran ini menempatkan pelbagai unit penting seperti Pejabat Pengarah Operasi Madinah, Pejabat Operasi Perubatan, Unit Pentadbiran, Bilik Maklumat Operasi, Unit Alokasi, Unit Pengendalian, Unit Kewangan serta Unit Pengelola Jemaah Haji (PJH).
Dengan kemudahan yang lebih lengkap serta lokasi strategik yang lebih dekat dengan Masjid Nabawi, Operasi Haji Madinah 1447H dijangka dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan teratur, seterusnya memastikan kebajikan serta keselesaan jemaah haji Malaysia sentiasa terpelihara.
LEMBAGA TABUNG HAJI