Skip to main content

Malaysia

PGA bongkar taktik guna kurier edar rokok seludup, rampasan lebih RM300,000

Pasukan Gerakan Am (PGA)
Dalam serbuan terbaru itu kata Amanjit, pasukan operasi merampas 805 karton rokok tidak bercukai kastam serta sebuah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan RM304,893.50. - Gambar Pasukan Gerak Am (PGA)
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) membongkar taktik sebuah sindiket yang berselindung di sebalik perkhidmatan kurier bagi mengedar rokok seludup, selepas merampas rokok pelbagai jenama bernilai lebih RM300,000 di Jenjarom, Selangor, Jumaat lepas.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA Supt Amanjit Singh berkata serbuan Ops Taring Alpha 1 pada 6.30 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Cawangan Risik Batalion 4 PGA Semenyih dengan dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Kuala Langat.

Beliau berkata hasil serbuan di sebuah rumah pekerja dalam kawasan bengkel lori di Kampung Sungai Rambai itu, polis menahan seorang lelaki tempatan berperanan sebagai penjaga premis merangkap pengurus tempahan.

“Siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak empat bulan lepas dan menyewa rumah berkenaan untuk dijadikan stor simpanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Modus operandi sindiket ialah membuat penghantaran rokok bermula 8 pagi kepada pembeli terdiri daripada peniaga kedai runcit milik warga asing di sekitar kawasan Jenjarom,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amanjit berkata bagi mengelakkan kegiatan itu dikesan, sindiket berkenaan menggunakan khidmat syarikat kurier luar sebagai penghantar kepada pelanggan.

Semakan rekod turut mendapati rangkaian sindiket yang sama pernah ditumpaskan Batalion 4 PGA di Bukit Raja pada Mac lepas.

Dalam serbuan terbaru itu katanya, pasukan operasi merampas 805 karton rokok tidak bercukai kastam serta sebuah telefon bimbit dengan nilai keseluruhan RM304,893.50.

Suspek bersama kesemua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement