MALAYSIA

PGA gagalkan cubaan seludup beras putih, lembu

Bernama 05/09/2025 | 02:20 MYT
PGA Batalion 9 menggagalkan cubaan menyeludup 36,000 kilogram (kg) beras putih dan 11 ekor lembu. - Foto Facebook/Briged Tenggara PGA Rasmi
KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 menggagalkan cubaan menyeludup 36,000 kilogram (kg) beras putih di Kampung Lawang, Batu Gajah, Tanah Merah, Rabu lepas.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata ketika rondaan Op Taring Wawasan, sepasukan anggota telah mengesan beberapa lelaki sedang memunggah guni ke dalam sebuah treler di lokasi berkenaan.

Beliau berkata semua suspek berjaya melarikan diri ke kawasan semak selepas menyedari kehadiran pihak polis manakala pemandu serta penumpang warga tempatan berjaya ditahan.

"Hasil pemeriksaan menemukan 36,000kg beras putih di belakang sebuah treler dan disyaki diseludup dari Thailand untuk dijual ke pasaran tempatan. Pemandu dan penumpang lelaki tempatan berusia 53 dan 19 tahun ditahan.

"Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM144,000 dan diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Kelantan untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu dalam perkembangan sama, Nik Ros Azhan berkata Batalion 9 PGA turut menumpaskan kegiatan penyeludupan 11 ekor lembu selepas menahan sebuah lori di Kampung Gelong Pasir, Tumpat pada hari sama.

Beliau berkata pemandu gagal menunjukkan sebarang dokumen yang sah berkaitan pemindahan lembu tersebut untuk rujukan Jabatan Veterinar.

"Lembu berkenaan disyaki diseludup masuk dari Thailand dan pemandu lelaki warga tempatan berumur 60 tahun dipercayai menjadi penghantar lembu untuk pasaran tempatan turut ditahan.

"Anggaran nilai rampasan keseluruhan RM113,000 termasuk lori dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Veterinar Kelantan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

-- BERNAMA






#Op Taring Wawasan #penyeludupan #beras putih #lembu