Skip to main content

Malaysia

PGA rampas 8.35 tan beras disyaki diseludup dari Thailand

Ahmad Radzi berkata rampasan itu melibatkan 167 guni beras seberat 50 kilogram (kg) setiap satu yang dibawa menggunakan sebuah lori jenis Isuzu berwarna putih. - Gambar Bernama
Ahmad Radzi berkata rampasan itu melibatkan 167 guni beras seberat 50 kilogram (kg) setiap satu yang dibawa menggunakan sebuah lori jenis Isuzu berwarna putih. - Gambar Bernama

Advertisement

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 8.35 tan beras putih jenis Super Import disyaki diseludup dari Thailand bersama sebuah lori, dengan nilai keseluruhan RM183,400, dalam operasi di Jalan Bukit Panau-Bukit Mas, Tanah Merah, Khamis lepas.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata rampasan itu melibatkan 167 guni beras seberat 50 kilogram (kg) setiap satu yang dibawa menggunakan sebuah lori jenis Isuzu berwarna putih.

Beliau berkata dua lelaki tempatan masing-masing bertindak sebagai pemandu dan kelindan lori itu berjaya diberkas selepas cuba melarikan diri ke kawasan semak ketika kenderaan berkenaan ditahan kira-kira 6 petang.

“Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan membawa 167 guni beras putih dengan anggaran nilai RM33,400, manakala lori itu dianggarkan bernilai RM150,000.

“Soal siasat mendapati beras berkenaan dipercayai akan dihantar terlebih dahulu ke Bachok sebelum dibawa ke lokasi ditetapkan, dengan pemandu menerima upah RM150 bagi setiap penghantaran,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pihaknya turut memperoleh maklumat mengenai seorang lelaki dikenali “Denan” yang dipercayai berperanan sebagai pengatur dan penyelaras penghantaran beras berkenaan.

Katanya, semua barang rampasan diserahkan kepada Kawal Selia Padi dan Beras Negara (KPB) Kelantan untuk siasatan dan tindakan lanjut mengikut Seksyen 20 Akta Kawalselia Padi dan Beras Negara 1994.

Ahmad Radzi berkata siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pembekal, penerima dan rangkaian pengedaran yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan beras di negeri itu.

“Tangkapan dan rampasan kali ini dipercayai berjaya memutuskan rangkaian atau laluan beras seludup ke negeri-negeri lain termasuk di Pantai Barat Semenanjung,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement