KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah merampas pelbagai jenis rokok, minuman keras dan mercun yang diseludup bernilai RM2,315,230.50 menerusi enam serbuan bermula 2 Mei hingga 8 Mei lalu.

Menurut Komander Briged Tengah PGA Senior Asisten Komissioner Muhammad Abdul Halim, serbuan yang dijalankan di Selangor dan Johor itu turut menahan lapan lelaki warga tempatan berusia 33 hingga 64 tahun.

"Serbuan pertama dilakukan di Jalan Parit Yaani, Batu Pahat Johor membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 39 tahun dengan rampasan pelbagai jenis rokok dan mercun seludup bernilai RM135,998.50.

"Manakala serbuan kedua dilakukan di sebuah premis di Jalan Bistari, Taman Universiti, Sungai Tangkas, Kajang yang menahan seorang lelaki berusia 42 tahun dan merampas mercun seludup bernilai RM509,600.

"Seterusnya, serbuan ketiga dijalankan di sebuah premis di Jalan Perjiranan, Taman Air Biru, Pasir Gudang, Johor yang membawa penahanan dua lelaki berusia 39 dan 42 tahun serta rampasan pelbagai jenis mercun bernilai RM115,318.

Mengulas lanjut, Muhammad berkata serbuan keempat di Jalan Putera, Taman Putera Indah, Muar, Johor merampas pelbagai jenis mercun bernilai RM352,350 serta penahanan dua lelaki berusia 33 dan 37 tahun.

"Serbuan kelima yang dilakukan di Jalan Silat Cekak, Taman Selesa Jaya, Skudai, Johor telah berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 64 tahun dan merampas pelbagai jenis rokok bernilai RM913,000.

"Serbuan terakhir berlaku terhadap sebuah lori 3 tan di Persiaran Galaksi Taman Desa Subang Shah Alam Selangor yang membawa penahanan seorang lelaki berusia 43 tahun dan rampasan pelbagai jenis minuman keras bernilai RM 288,964.

Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Sekysen 135 (1) Akta Kastam 1967.