[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

PGA Sarawak rampas pelbagai barangan bernilai RM5.08 juta

Bernama 25/11/2025 | 15:15 MYT
Lim berkata pada serbuan itu pihaknya menahan lima lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia antara 29 hingga 44 tahun. - Gambar fail
KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merampas produk sejuk beku, minyak diesel, minuman keras dan rokok bernilai RM5.08 juta menerusi 10 operasi dari 11 Nov hingga semalam.


Ringkasan AI
  • PGA Briged Sarawak merampas produk bernilai RM5.08 juta termasuk daging sejuk beku, diesel, minuman keras, dan rokok dalam 10 operasi dari 11 Nov hingga semalam.
  • Rampasan termasuk 8,200 kg daging sejuk beku, 6,700 liter diesel, 190.08 liter minuman keras, dan 807 karton rokok dengan penahanan beberapa individu tempatan.
  • Operasi PGA juga merampas 144 kg sosej, 30 kg perut lembu sejuk beku, dan 1,278 karton rokok dalam serbuan yang dilakukan di beberapa kawasan di Sarawak.


Komander Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata rampasan pertama pada 11 Nov melibatkan 8,200 kilogram (kg) daging sejuk beku tanpa dokumen sah dan sebuah lori di Kampung Stass, Bau melibatkan nilai keseluruhan RM273,800 dan penahanan seorang lelaki tempatan 37 tahun.

"Pada 12 Nov di Kampung Raso, Lundu seorang lelaki tempatan 28 tahun ditahan ketika cuba menyeludup 2,400 kg daging sejuk beku dengan nilai rampasan termasuk sebuah lori berjumlah RM163,200.

"Pada hari sama, serbuan di empat premis merampas 6,700 liter diesel, peralatan pam minyak, satu semi treler, 190.08 liter minuman keras, 516 karton rokok dan dua lori bernilai lebih RM1.01 juta," katanya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata pada serbuan itu pihaknya menahan lima lelaki tempatan dan seorang warga asing berusia antara 29 hingga 44 tahun.

Sementara itu, serbuan di enam premis sekitar Kuching, Bau dan Sematan menahan lima warga tempatan termasuk dua wanita dan seorang wanita warga asing, membawa kepada rampasan 340 liter diesel, 17 tong minyak, 2,986.32 liter minuman keras, 364 karton rokok dan sebuah lori bernilai RM325,742.20.

Serbuan pada 18 Nov ke atas empat premis di sini pula membawa kepada penahanan tiga lelaki serta seorang wanita, semuanya warga tempatan dan merampas 807 karton rokok serta 643.86 liter minuman keras bernilai RM312,548.60.

"Pada 20 Nov seorang lelaki tempatan 54 tahun ditahan di Engkilili kerana menggunakan diesel bersubsidi tanpa permit sah dan merampas 700 liter bahan api itu, tong serta pam minyak, sebuah pacuan empat roda serta empat jengkaut bernilai RM1.32 juta," katanya.

Pada hari sama, rondaan PGA di Tebedu menemukan 16 bungkusan plastik hitam mengandungi 144 kg sosej dan 30 kg perut lembu sejuk beku dipercayai untuk diseludup keluar bernilai RM1,865.

Lim berkata pada 21 Nov dua lelaki tempatan berusia 27 dan 40 tahun ditahan di lokasi sama kerana membawa 220 kg daging babi sejuk beku tanpa dokumen sah menggunakan sebuah van, melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM89,400.

"PGA menahan seorang lelaki tempatan 63 tahun di sebuah premis di Bintulu pada 22 Nov dan merampas 1,278 karton rokok, 3,429 liter minuman keras dan sebuah van bernilai RM1.51 juta," katanya.

Lim berkata PGA menyerbu empat premis di sini dan Serian semalam yang membawa kepada tangkapan masing-masing dua lelaki dan wanita tempatan serta rampasan 188 karton rokok dan 316.8 liter minuman keras bernilai RM76,648.

-- BERNAMA


#minuman keras #warga asing #Pasukan Gerakan Am #sejuk beku