MALAYSIA

PGA tumpaskan cubaan seludup 100 ekor kambing dari Thailand

Bernama 20/09/2025 | 11:40 MYT
PGA Briged Utara akan terus mempergiat rondaan dan pengawasan di kawasan sempadan bagi membanteras jenayah penyeludupan.
GERIK: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan cubaan menyeludup 100 ekor kambing jenis Boer dari Thailand menerusi Op Bersepadu Khazanah di Gerik, semalam.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta SAC Shahrum Hashim berkata dalam operasi bermula 4.30 petang hingga 5 pagi itu, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan berusia 28 dan 41 tahun bagi membantu siasatan.

Beliau berkata operasi itu dijalankan Cawangan Risik Batalion 18 PGA dengan kerjasama Jabatan Veterinar Cawangan Taiping dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik.

"Pasukan operasi mengesan kegiatan penyeludupan haiwan yang diseludup masuk dari Thailand dan dipasarkan secara tidak sah di pasaran tempatan sejak tiga bulan lepas," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrum berkata turut dirampas dalam operasi semalam sebuah lori dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM260,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 (Akta 647).

Beliau berkata PGA Briged Utara akan terus mempergiat rondaan dan pengawasan di kawasan sempadan bagi membanteras jenayah penyeludupan, selain menyeru masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan kepada pihak berkuasa.

-- BERNAMA


#PGA #kambing seludup #Thailand #Kelantan