Skip to main content

Malaysia

PGA tumpaskan kegiatan penyeludupan migran, 10 individu ditahan di Tumpat

PASIR MAS, 26 Nov -- Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain pada sidang media selepas meninjau paras kenaikan air Sungai Golok di Rantau Panjang susulan peningkatan mendadak sejak pagi tadi, ketika tinjauan hari ini.  Beliau turut meninjau pembinaan tembok kawad duri di sepanjang sempadan bagi memastikan keselamatan komuniti setempat serta memperkukuh kawalan ketika situasi banjir yang semakin tidak menentu.  Pemeriksaan itu dilakukan bagi menilai tahap kesiapsiagaan anggota PGA dan memastikan
Ahmad Radzi berkata PGA turut merampas sebuah kereta Honda Accord, 22 telefon bimbit pelbagai jenis dan sebuah komputer riba dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM77,100. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan penyeludupan migran dengan penahanan 10 individu, termasuk seorang pemandu warga Thailand dalam operasi di Jalan Kampung Kubang Bemban, Pengkalan Kubor, Tumpat awal pagi tadi.

Komander Briged Tenggara PGA SAC Ahmad Radzi Hussain berkata tangkapan menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan itu dilakukan anggota Batalion 8 PGA kira-kira 6.30 pagi hasil risikan berhubung aktiviti penyeludupan migran di kawasan berkenaan.

Beliau berkata pasukan operasi mengesan sebuah kereta Honda Accord dalam keadaan mencurigakan sebelum pemandunya cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu berusia 25 tahun itu adalah warga Thailand dan positif dadah manakala sembilan lagi yang ditahan terdiri daripada tujuh warga China dan dua warga Myanmar.

“Hanya seorang daripada warga China itu mengemukakan pasport, namun dokumen berkenaan tidak mempunyai cap kemasukan yang sah ke Malaysia manakala yang lain gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan dan dipercayai memasuki negara ini melalui laluan tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Radzi berkata PGA turut merampas sebuah kereta Honda Accord, 22 telefon bimbit pelbagai jenis dan sebuah komputer riba dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM77,100.

Beliau berkata siasatan awal mendapati pemandu terbabit mengaku terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran sejak Januari lepas dengan menerima bayaran RM150 bagi setiap migran yang dihantar ke destinasi ditetapkan.

Menurut Ahmad Radzi, sembilan telefon bimbit iPhone pelbagai model dan sebuah komputer riba yang dirampas daripada seorang warga asing yang ditahan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan penipuan dalam talian.

“Siasatan awal mendapati kesemua warga asing terbabit dipercayai memasuki Malaysia untuk menjalankan kegiatan penipuan dalam talian,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement