[TERKINI] Perang Israel-Iran Bakal Tamat? | Trump Umum Gencatan Senjata Penuh. Klik di sini untuk laporan penuh dan reaksi global.
NATIONAL

PGSM Perak sedia bantu penebusan tanah wakaf Masjid Jamek Ar-Ridzuan

Bernama 07/05/2025 | 14:15 MYT
Masjid Jamek Ar Ridzuan yang dibina sekitar tahun 1931 tersebut telah melalui beberapa proses baik pulih dan kini berdepan keperluan mendesak untuk mendapatkan semula hak milik tanah. - Gambar Sinar Harian
IPOH: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Cawangan Negeri Perak bersedia membantu dari sudut perundangan berhubung usaha penebusan semula sebahagian tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan, Alor Pongsu yang bertukar milik kepada individu bukan Islam.
Pengerusi PGSM Perak Adham Jamalullail Ibrahim berkata pihaknya bersedia membantu khususnya berkaitan pematuhan undang-undang wakaf, status hak milik tanah dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi melindungi kepentingan umat Islam serta institusi wakaf di negeri berkenaan.
"Sekiranya diperlukan, kami bersedia memberikan pandangan perundangan, mewakili pihak berkepentingan termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) serta pihak pengurusan masjid-masjid, surau-surau dan sekolah-sekolah agama rakyat bagi mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani isu tanah wakaf dalam negeri Perak mengikut lunas undang-undang negara dan negeri ini.
"Semoga usaha murni ini diberkati dan menjadi contoh kepada semua negeri dalam memastikan kelestarian institusi wakaf dan masjid demi kepentingan umat Islam keseluruhannya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pihaknya memandang serius isu yang timbul apabila tanah yang asalnya diwakafkan untuk pembinaan masjid telah dijual oleh waris pewakaf kepada pihak lain, sehingga menyebabkan pemilikan tanah bertukar tangan dan mengundang risiko kepada kewujudan masjid itu sendiri.
"Situasi ini membuktikan pentingnya pengurusan harta wakaf yang sistematik dan pemantauan berterusan agar tidak berlaku sebarang pelanggaran kepada niat pewakaf.
"PGSM Perak menggesa semua pihak termasuk pentadbir tanah, institusi agama dan masyarakat awam untuk lebih cakna dalam mengurus dan memelihara harta wakaf agar ia tidak disalah guna atau dipindah milik dengan sewenang-wenangnya.
Adham Jamalullail berkata pihaknya juga menyambut baik dan menyokong penuh inisiatif Kerajaan Perak yang berhasrat menggunakan kaedah kutipan derma solat Jumaat seluruh negeri bagi tujuan mengumpul dana untuk menebus semula tanah itu demi memelihara kesucian dan kelangsungan fungsi rumah ibadah umat Islam.
Terdahulu, timbul isu berhubung tuntutan pemilikan tanah Masjid Jamek Ar-Ridzuan dimiliki seorang individu bukan Islam, selepas tanah wakaf untuk pembinaan masjid itu dijual oleh cucu pewakaf.
Bagaimanapun, pemilik berkenaan bersetuju untuk menjual semula tanah berkenaan.
Susulan itu, kerajaan negeri memutuskan untuk menggunakan wang kutipan derma solat Jumaat di seluruh negeri bagi membeli sebahagian tanah yang bernilai RM1.8 juta daripada pemiliknya.
-- BERNAMA
#PGSM #Tanah Wakaf #Solat Jumaat #kutipan derma