KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia digesa mempertimbangkan semula keputusan menghantar pulang 1,200 tahanan warga Myanmar sehingga keadaan politik di negara itu reda, susulan rampasan kuasa 1 Feb lalu.

Pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH) Plus mendakwa, ia satu tindakan tidak bertanggungjawab sekiranya tahanan dihantar kembali ke negara asal ketika ia berdepan konflik ketika ini.

Langkah tersebut hanya akan membahayakan lagi keselamatan mereka, kata tiga pemimpin tertinggi PH dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Penghantaran pulang mereka perlu ditangguhkan sehingga pemerhati antarabangsa dapat menilai keadaan keselamatan di Myanmar, tegas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam kenyataan itu.

"Tindakan ini (penghantaran pulang warga Myanmar) mengesahkan junta tentera Myanmar.

"Tindakan menghantar pulang ke zon konflik sejurus selepas konfrontasi masyarakat awam dengan pihak tentera, mungkin menjejaskan keselamatan pelarian.

"Sehingga pemerhati antarabangsa dapat mengesahkan keadaan sebenar di Myanmar telah selamat, Malaysia bertanggungjawab memastikan nyawa-nyawa pelarian tersebut tidak terancam," kata mereka. 


Jelas mereka, sangat penting bagi Malaysia untuk menunjukkan kepimpinan bagi mencari penyelesaian terhadap krisis dan memulihkan demokrasi di Myanmar.

Kerajaan Malaysia, tambah mereka, harus terus mengutuk tindakan junta tentera supaya sistem demokrasi dapat dikembalikan.

Ini kerana, kestabilan dan kemakmuran Myanmar adalah kepentingan terbaik bagi rantau ASEAN.

Pada masa sama, pemimpin PH itu turut mendesak supaya junta tentera Myanmar menghentikan penggunaan peluru hidup, terutama ketika berdepan tunjuk perasaan.

Terdahulu, media melaporkan, terdapat penangkapan dan tindak balas keras oleh pihak berkuasa terhadap penunjuk perasaan yang membantah secara aman, menyebabkan sejumlah orang awam cedera sehingga ada yang terbunuh.

 kecam junta tentera Myanmar dan gesa tahanan politik dibebas segera


Awal bulan ini, angkatan tentera Myanmar atau Tatmadaw melancarkan rampasan kuasa dan mengisytiharkan perintah darurat selama 12 bulan beberapa jam selepas penahanan pemimpin Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) Aung San Suu Kyi dan Presiden Win Myint serta beberapa pemimpin awam lain.

Tatmadaw turut mengumumkan bekas Jeneral Myint Swe yang juga Naib Presiden sebagai pemangku presiden selama setahun.

Ia menyaksikan penduduk negara itu padang menyertai tunjuk perasaan besar-besaran di serata Myanmar.