KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) menyatakan sokongan terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan menyifatkan pendakwaan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu sebagai pendakwaan terpilih.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden PH memberi amaran agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)  dan agensi-agensi lain tidak dijadikan senjata politik, terutama untuk menekan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Perikatan Nasional (PN).

"Namun dengan tindakan pendakwaan terkini ini jelas menunjukkan salah guna agensi demi kerakusan kuasa terus berlaku," dakwa Majlis Presiden PH dalam satu kenyataan.

Majlis Presiden mendakwa tindakan memperalat agensi  telah berlaku sejak dahulu lagi, dan telah memuncak dengan pendakwaan terpilih terhadap Setiausaha Agong DAP, Lim Guan Eng pada tahun lalu.

"Terkini, kita dikejutkan dengan pendakwaan terhadap YB Syed Saddiq, Ahli Parlimen Muar, lebih-lebih lagi kerana ia berlaku hanya beberapa hari sebelum bermulanya sidang khas Parlimen pada 26 Julai ini.

"Tambahan pula pendedahan beliau bahawa kes-kes ini dibawa ke mahkamah kerana beliau enggan menyokong Perikatan Nasional," tambahnya.