KUALA LUMPUR:Pharmaniaga Bhd memiliki kapasiti untuk mengeluarkan dua juta dos vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh Sinovac Life Sciences Co Ltd dari China setiap bulan bermula Mac tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata vaksin itu akan menjadi yang pertama dikeluarkan di Malaysia di kilang berteknologi tinggi milik anak syarikat milik penuh Pharmaniaga, Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd, di Puchong.

Beliau berkata kumpulan itu akan melabur sebanyak RM3 juta untuk menaik taraf kilang tersebut bagi pengeluaran vaksin.

"Kami yakin dapat melaksanakan tugas itu dengan jayanya kerana pakar teknikal kami telah mengusahakan untuk menubuhkan kilang vaksin halal di Malaysia sejak 2017.

"Semasa pandemik COVID-19 menular ke seluruh dunia awal tahun lepas, kami dengan segera mengerahkan pasukan kami untuk bekerjasama dengan rakan kongsi global kami, termasuk Sinovac bagi aktiviti perkilangan isi dan selesai (fill and finish) dan pindahan teknologi untuk mempercepatkan penyediaan vaksin bagi membendung pandemik itu," katanya kepada pemberita selepas majlis permeteraian perjanjian antara Pharmaniaga dan Sinovac Life Sciences Co Ltd di sini, hari ini.

Majlis permeteraian itu disaksikan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovsi Khairy Jamaluddin.

Pharmaniaga akan menjalankan aktiviti isi dan selesai vaksin dibangunkan oleh Sinovac Life, yang dijangka sedia untuk diedarkan kepada orang ramai pada akhir Mac 2021.

Perjanjian itu adalah bagi membekalkan 14 juta dos vaksin COVID-19 yang akan dijalankan untuk aktiviti isi dan selesai.

Pharmaniaga telah bekerjasama dengan Agensi Kawal Selia Farmaseutikal Kebangsaan (NPRA) untuk memastikan kilangnya terus mematuhi dengan ketat keperluan kawal selia.

Zulkarnain berkata vaksin Sinovac COVID-19 telah menyempurnakan percubaan fasa tiga di Brazil dan Turki dan ini sedang dalam proses mendapatkan kelulusan di kedua-dua negara itu.

"Ketika ini kami sedang berbincang dengan NPRA bagi pendaftaran dan mereka sangat menyokong projek ini, oleh itu kami yakin dapat mengeluarkan vaksin tersebut dan sedia untuk diedarkan ke hospital pada akhir Mac 2021," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata perjanjian antara Pharmaniaga dan Sinovac adalah satu inisiatif swasta.

"Kita menyokong ini kerana kita telah membayangkan kepada Pharmaniaga bahawa kita berminat dengan vaksin Sinovac.

"Kini pemerolehan kerajaan daripada sebahagian daripadanya, harap-harapnya, akan dapat dimuktamadkan minggu depan," katanya.

Vaksin COVID-19 | Pharmaniaga peroleh 14 juta dos vaksin Sinovac


Khairy memberi jaminan program vaksin bagi COVID-19 akan dilaksanakan dalam tempoh suku pertama 2021.

"Kita tidak terlalu lewat atau terlalu awal. Kita boleh merancang program imunisasi kita yang boleh mengurangkan banyak pembaziran dan akan dilancarkankan secekap yang mungkin," katanya.

-- BERNAMA