KUALA LUMPUR : Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) akan mengagihkan 6 juta dos vaksin COVID-19 jenis Sinovac kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bekalan tambahan itu akan diberikan setelah surat penerimaan (LoA) dikeluarkan oleh pihak kementerian yang akan ditandatangani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, ia adalah merupakan bekalan tambahan kepada 2 juta dos Sinovac seperti yang ditempah oleh KKM pada 26 Julai lalu.

"Kami berbesar hati dan berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan untuk meneruskan bekalan dan pengedaran vaksin COVID-19 Sinovac ini bagi membantu mengekalkan momentum kadar vaksinasi yang tinggi.

"Kapabiliti Pharmaniaga untuk membekalkan vaksin dalam kuantiti besar ini terbukti dengan selesainya tempahan tambahan 2 juta dos vaksin pada akhir Julai yang lalu.

"Pihak kita akan berusaha keras bagi memastikan bekalan tambahan 6 juta dos ini ditunaikan dalam masa yang tepat," kata beliau.

Jelasnya lagi, pada 16 July yang lalu, Pharmaniaga telah melengkapkan tempahan bekalan 12.4 juta dos Sinovac kepada kerajaan iaitu kira-kira lima bulan lebih awal dari tarikh yang sepatutnya.

Dengan persetujuan terbaharu ini lagi, jumlah terkumpul buat bekalan vaksin jenama Sinovac juga meningkat kepada 20.4 juta di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

"Tambahan 6 juta dos ini adalah merupakan kombinasi kaedah 'fill and finish' yang dikeluarkan oleh Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS) dan vaksin siap yang diimport dari China.

"LoA itu akan memastikan Pharmaniaga mula membekal vaksin dengan kadar segera dan dipenuhi menjelang akhir bulan ini," tambahnya lagi.

Beliau dalam masa yang sama yakin bahawa pengagihan bekalan tambahan ini akan dijalankan dengan lancar berdasarkan kapasiti sedia ada.