Pharmaniaga dibenar jual vaksin bagi pasaran swasta bermula Ogos - Khairy

Fareez Azman
Julai 23, 2021 07:18 MYT
Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa syarikat farmaseutikal, Pharmaniaga Berhad akan dibenarkan menjual vaksin bagi pasaran swasta bermula Ogos depan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Syarikat farmaseutikal Pharmaniaga Berhad akan dibenarkan menjual vaksin bagi sektor swasta bermula Ogos depan.
Menurut Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, kerajaan menerusi Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan menetapkan syarat dan garis panduan.
"Pharmaniaga sudah selesai hantar bekalan kepada kita walaupun ada sedikit tambahan perolehan kita akan buat.
"Mereka akan jual vaksin Sinovac ini di pasaran swasta bermula Ogos, tetapi dengan syarat dan garis panduan daripada JKJAV yang akan bermesyuarat minggu depan termasuk harga siling akan ditetapkan untuk pasaran swasta," jelasnya dalam sidang media harian Program PICK pada Jumaat.
Mengulas mengenai khabar angin mendakwa Sinovac telah dihentikan dalam Program PICK, tegas Khairy, perkara itu tidak benar sama sekali.
Sebaliknya, bekalan Sinovac telah selesai dihantar sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan oleh Pharmaniaga seperti mana yang diminta.
"Sinovac tidak dihentikan daripada PICK. Bekalan Sinovac telah selesai diberi dan dihantar ke Kerajaan Persekutuan. Sebab itu Sinovac diberi dengan kuantiti kurang dalam PICK, we have not pull out Sinovac from PICK.
"Pharmaniaga hantar semua dos vaksin itu kepada Kerajaan Persekutuan dan ada lagi perolehan baharu daripada syarikat itu," katanya lagi.
#Khairy Jamaluddin #COVID-19 #vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #khabar angin #PICK #pharmaniaga berhad #jual #sektor swasta #kerajaan Persekutuan #perolehan #garis panduan