KUALA LUMPUR: Pengedar tunggal Sinovac di Malaysia, Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) menjelaskan, vaksin Sinovac di negara ini tidak ditamatkan sebaliknya pembekalan 12 juta dos vaksin itu kepada kerajaan Persekutuan sudah selesai.

Menurut Pharmaniaga, syarikat itu menerima kontrak pembekalan 12 juta dos terbabit untuk fill and finish selama tujuh bulan iaitu antara Mei dan November ini.

Katanya, apabila kes jangkitan COVID-19 meningkat secara mendadak sejak Mac lalu, Pharmaniaga mengambil langkah proaktif untuk memenuhi keperluan negara dengan menyegerakan pembekalan vaksin COVID-19 Sinovac.

"Ekoran itu Pharmaniaga membuat pesanan vaksin import siap untuk diagihkan seiringan dengan agihan vaksin jenis fill and finish.

"Dengan itu, Pharmaniaga  berjaya membekalkan sebanyak 12 juta dos dan kelompok dos terakhir akan dibekalkan pada 21 Julai 2021 iaitu 4.5 bulan lebih awal daripada jadual kontrak asal," kata syarikat itu dalam kenyataan media pada Jumaat.

Menurut Pharmaniaga, pembekalan 12 juta dos itu melibatkan enam juta dos bagi suntikan pertama dan enam juta dos bagi suntikan kedua.

"Memandangkan jumlah suntikan dos pertama di kesemua negeri sudah hampir mencecah enam juta, arahan telah diberikan untuk memberhentikan pemberian dos pertama dan menumpukan kepada pemberian dos kedua.

"Ianya bagi mengelakkan kes tiada stok untuk dos kedua sekiranya dos pertama diberi lebih daripada enam juta dos," jelasnya.

Pharmaniaga juga menyatakan kesedian untuk membuat pembekalan tambahan sekiranya kerajaan Persekutuan berhasrat untuk meneruskan penggunaan vaksin COVID-19 Sinovac dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ujarnya, syarikat terbabit telah membuat tawaran penambahan bekalan sebanyak dua juta dos kepada kerajaan Persekutuan dan sedang menunggu keputusan rasmi mengenainya.

Sementara itu, Pharmaniaga berkata, akan meneruskan pembekalan vaksin COVID-19 Sinovac kepada kerajaan-kerajaan negeri, agensi kerajaan dan pihak swasta yang telah lama menunggu bekalan bagi membantu mempercepatkan program vaksinasi selari dengan PICK.

Semalam, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengesahkan, kerajaan menghentikan pengagihan vaksin Sinovac ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Kelantan dan menggantikannya dengan vaksin Pfizer.

Menurut beliau, langkah itu diambil kerana jumlah Pfizer jauh lebih banyak di negara ini berbanding Sinovac.

Menurutnya bukan sahaja Kelantan, vaksin ke negeri-negeri lain juga akan digantikan dengan Pfizer dalam masa terdekat.