PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bersama Institut Kefahaman Islam Malaysia sedang meneliti dan akan mengangkat cadangan Piagam Harmoni, yang mampu menjadi panduan untuk membina negara yang aman dan harmoni.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata piagam itu juga mampu menatijahkan kemakmuran seperti dihasratkan dalam konsep Malaysia MADANI.

Beliau juga menegaskan bahawa tidak akan sama sekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang mencetuskan polemik perkauman dan menyentuh sensitiviti agama yang mengganggu gugat keharmonian dan perpaduan rakyat.

"Saya juga ingin mengingatkan kepada semua pihak agar berhati-hati dalam menyatakan sebarang kenyataan atau tindakan yang menyentuh sensitiviti agama dan perkauman," katanya dalam kenyataan hari ini.

Aaron berkata tindakan sedemikian boleh disabitkan atas kesalahan di bawah undang-undang yang berkenaan seperti Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berkata semua pihak disaran menyebarluas prinsip asas integrasi nasional iaitu faham, hormat dan terima yang merupakan prinsip asas dalam memupuk keharmonian dan kepelbagaian dalam masyarakat.

Rukun Negara, katanya adalah prinsip asas yang sepatutnya menjadi panduan bagi pembinaan serta pemeliharaan keharmonian di Malaysia.

Menurut Aaron beliau turut menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya pihak berkuasa mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan hukuman berat terhadap pihak yang melakukan kesalahan supaya ia menjadi pengajaran kepada orang lain.

-- BERNAMA