MALAYSIA

Piala Dunia Hoki Remaja: Young Tigers atasi Switzerland 7-3

Bernama 06/12/2025 | 21:15 MYT
Skuad negara bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin akan menentang Jepun pada penentuan tempat ke-13, Selasa ini. - Foto Facebook/Malaysian Hockey Confederation
KUALA LUMPUR: Skuad remaja lelaki negara menewaskan Switzerland 7-3 dalam aksi penentuan tempat ke-13 hingga ke-16 Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki di Chennai, India, semalam.

Malaysia memulakan perlawanan dengan tempo tinggi apabila meraih dua jaringan awal menerusi pukulan sudut penalti, masing-masing disempurnakan Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee pada minit kelima dan Muhammad Handzalah Abdul Hadi seminit selepas itu.

Switzerland bagaimanapun merapatkan jurang hasil jaringan Jens Fluck pada minit ke-13, namun skuad negara kembali mengukuhkan kedudukan apabila Muhammad Harris Iskandar Osman menyempurnakan penalti strok pada minit ke-19 sebelum Rahul Fazrien Muhammad meledak gol padang dua minit kemudian untuk memastikan Malaysia selesa mendahului 4-1 pada separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Switzerland cuba bangkit menerusi jaringan padang Leonard Kraxner pada minit ke-32, namun Malaysia terus menjarakkan kedudukan apabila Azimuddin Syakir Kamaruddin menyumbat gol melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-37.

Malaysia kemudian memastikan kemenangan selesa dengan dua lagi jaringan padang, masing-masing melalui Muhammad Aqil Danial (minit ke-43) dan Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar (minit ke-46), sebelum Switzerland mengutip satu gol pada penghujung perlawanan menerusi pukulan sudut penalti kedua Jens Fluck.

Skuad negara bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin akan menentang Jepun pada penentuan tempat ke-13, Selasa ini. Terdahulu, Jepun menewaskan Chile 3-1.

-- BERNAMA





#Piala Dunia #hoki remaja lelaki #Young Tigers #penalti strok