SEREMBAN: Risau penularan COVID-19 disebabkan kesukaran penjarakan fizikal dalam kalangan murid-murid sekolah menjadikan ibu bapa kini lebih terbuka membenarkan anak mereka mengambil vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

Ketika ditemui di PICKids anjuran Kellogg Asia Products Sdn Bhd di sini hari ini, rata-rata ibu bapa melahirkan rasa lega melihat anak mereka selesai divaksin selain mengajak ibu bapa lain agar tidak lagi bersikap 'tunggu dan lihat' demi perlindungan kesihatan anak mereka pada masa hadapan.

Bagi Lily Diana Nazeri, 32, dia mengambil pendekatan memujuk dan memberi kata-kata semangat kepada anak perempuannya Nur Khayla Salsabila Mohd Asrizal, 7, supaya tidak berasa takut mendapatkan suntikan vaksin hari ini.

"Saya beritahu pada anak apabila pergi sekolah nanti akan jumpa ramai orang dan kena cucuk vaksin. Kita nasihat dia setiap hari untuk keselamatan dirinya dan lama-kelamaan dia sendiri terbuka hati untuk divaksin.

"Maklumlah budak-budak berusia tujuh tahun, mereka tidak terlalu menjaga penjarakan fizikal dan sebab itu pentingnya anak-anak ini divaksin sebelum memulakan sesi persekolahan nanti," katanya kepada pemberita.

Sejak pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun dimulakan menerusi PICKids Februari lepas, sebanyak 1,221,990 individu atau 34.4 peratus kumpulan itu telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat semalam.

Berkongsi pandangan sama, suri rumah, Norhafiza Mustapa, 34, yakin anaknya Mariam Nefeesa Mohd Irfan, 5, akan mempunyai perlindungan kesihatan 'ekstra' berbanding sebelum divaksin terutama ketika berhadapan COVID-19 di tadikanya.

Norhafiza berkata pada mulanya Mariam Nefeesa tidak mahu menerima vaksin kerana takut, tetapi apabila mengetahui ramai rakannya sudah divaksin anaknya mula bersetuju malah kelihatan teruja untuk divaksin.

Nurul Izzati Shamsul Bahar, 36, berkata dia memutuskan supaya anak perempuannya Anggun Dea Clemira Amar Hidayat, 5, divaksin berikutan khuatir anaknya yang menghidap bronkitis akan mengalami kesan teruk sekiranya dijangkiti COVID-19.

"Sekurang-kurangnya kini selepas divaksin kita boleh berharap dia terus dilindungi daripada jangkitan COVID-19," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kilang Kellogg Asia Products Sdn Bhd Matan Raj Subramaniam berkata program itu dianjurkan sebagai menyokong matlamat Kementerian Kesihatan dalam memberi imunisasi kepada kanak-kanak sekali gus mengurangkan kes positif COVID-19.

Beliau juga berhasrat program dengan kerjasama Pusat Penjagaan Kesihatan Sehat dan Pejabat Kesihatan Daerah Seremban itu akan diperluaskan ke lokasi lain pada masa hadapan.

-- BERNAMA