Skip to main content

Malaysia

Pidato asah pemikiran kritikal generasi muda

Awani pagi
Muhamad Fitri (tengah) dan Roshidah (kiri) ketika menjadi tetamu AWANI Pagi hari ini.

KUALA LUMPUR: Pidato dilihat sebagai platform penting dalam melatih generasi muda berfikir secara matang serta menyampaikan pandangan berasaskan fakta dan data yang sahih.

Pengarah Pertandingan Pidato Tungku Kursiah (PPTK) 2026, Muhamad Fitri Ilham berkata, pertandingan pidato khususnya di peringkat sekolah menengah mampu membantu membina keyakinan diri peserta selain mengasah kemahiran berhujah secara tersusun.

Advertisement

Menurutnya, pidato juga berperanan sebagai wacana lisan yang menuntut peserta mengemukakan hujah berdasarkan maklumat yang benar dan relevan.

“Melalui pidato, peserta dilatih untuk berfikir dengan lebih matang dan berhujah menggunakan fakta serta data yang tepat.

“Ini berbeza dengan perbincangan di media sosial yang kadangkala tidak dapat dipastikan kesahihannya kerana banyak pandangan disampaikan tanpa merujuk sumber yang jelas,” katanya pada program AWANI Pagi yang membicarakan tajuk 'Pidato Melahirkan Suara Mahasiswa Berwibawa'.

Sementara itu, Pengetua Kolej Tunku Kurshiah, Profesor Madya Roshidah Hassan berkata, generasi muda perlu dididik untuk menyuarakan pandangan secara beradab dan bertanggungjawab, khususnya dalam era pengaruh media sosial.

Katanya, budaya bercakap semata-mata untuk meraih perhatian atau menjadi tular di media sosial boleh memberi kesan negatif sekiranya tidak disokong dengan fakta yang tepat.

Justeru, beliau menegaskan generasi muda perlu berani bersuara dengan penuh integriti serta memahami implikasi setiap pandangan yang disampaikan kepada masyarakat.

Must Watch Video