Tatkala misi mencari pesawat Malaysia yang hilang melibatkan pelbagai negara memasuki hari ke-10 hari ini, pegawai kanan pihak berkuasa Malaysia terbabit dalam pencarian itu mengadakan mesyuarat di
Hotel Sama-Sama di sini.

Difahamkan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin dan Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin menghadiri mesyuarat tertutup itu. Mereka dilihat keluar dari bilik mesyuarat pada 12.15 tengah hari.

Sumber memberitahu Bernama, wakil Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) turut menghadiri mesyuarat itu.

Pengarah Urusan MAHB Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid, semasa ditemui selepas mesyuarat itu, enggan bercakap kepada pemberita.

Dipercayai mesyuarat itu akan bersambung pada 2 petang dan akan turut disertai wakil Kedutaan China di Kuala Lumpur. Majoriti penumpang pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 itu adalah warga China.

Pesawat Boeing 777-200ER itu dalam penerbangan ke Beijing, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 pagi 8 Mac. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Nasib penumpang masih belum diketahui tatkala misi mencari pesawat itu melibatkan pelbagai negara tidak membuahkan hasil setakat ini.

Didedahkan bahawa pesawat itu melencong daripada laluan selepas seseorang dengan sengaja mematikan sistem komunikasi dalam pesawat itu, dan menurut satelit Inmarsat, ia terbang kira-kira lima jam selepas itu.

Satelit itu terus mengesan pesawat itu setiap satu jam menerusi apa yang dikenali sebagai 'electronic handshake' selepas ia hilang daripada skrin radar pada kira-kira 1.30 pagi, 8 Mac, dan 'handshake' terakhir direkodkan pada 8.11 pagi.

Sementara itu, Bernama dimaklumkan tiga penyiasat dari Pihak Berkuasa Penyiasatan Keselamatan Penerbangan Awam Perancis (BEA) tiba di Malaysia awal hari ini untuk membantu operasi mencari itu.

BEA terlibat dalam penyiasatan nahas Penerbangan 447 Airbus A330 Air France pada 2009.