Pihak berkuasa Perak digesa pulihara dua geotapak Kinta

Bernama
Mei 26, 2021 20:42 MYT
MEOR RAZAK: Penyambungan tempoh pajakan kawasan itu mengecewakan kami dan bercanggah dengan Rancangan Tempatan Ipoh 2020. - Gambar fail Bernama
IPOH: Dua geotapak di dalam Geopark Kebangsaan Lembah Kinta, Gunung Kanthan dan Taman Eko Rimba Hulu Kinta yang terletak di Mukim Hulu Kinta, berdepan risiko pemusnahan jika tidak diberi perhatian sewajarnya.
Justeru beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan alam sekitar mendesak pihak berkuasa negeri campur tangan, dalam memulihara dan mengekalkan dua geotapak tersebut ini termasuklah Sahabat Alam Malaysia (SAM), Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA), Pertubuhan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia (GRASS Malaysia), Persatuan Penggerak Bumi Hijau Malaysia, Persatuan Jurupandu Geopark Warisan Alam Semulajadi Perak, Persatuan Pembela Alam Semulajadi dan Samudera Perak dan Pemerhati Lembah Kinta (Kinta Valley Watch).
Jurucakap mewakili pertubuhan-pertubuhan itu Meor Razak Meor Abdul Rahman berkata, kedua-dua geotapak tersebut menghadapi risiko pemusnahan tanpa diberi perhatian yang sewajarnya, selain keadaan kedua-duanya yang terbiar berbanding beberapa geotapak lain dalam Geopark Kebangsaan Lembah Kinta.
"Kami bimbang Geotapak Gunung Kanthan akan dimusnahkan apabila mendapat maklumat pihak berkuasa negeri telah menyambung tempoh pajakan tanah kawasan tersebut, kepada sebuah syarikat yang mengusahakan perusahaan simen pada tahun lepas.
"Penyambungan tempoh pajakan kawasan itu mengecewakan kami dan bercanggah dengan Rancangan Tempatan Ipoh 2020 (RT Ipoh 2020)," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, dalam makluman RT Ipoh 2020, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan mencadangkan kepada Pihak Berkuasa Negeri supaya tidak meluluskan lagi kegiatan pengkuarian dalam kawasan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tersebut.
-- BERNAMA
#Geopark Kebangsaan Lembah Kinta #Gunung Kanthan #pertubuhan bukan kerajaan #Meor Razak Meor Abdul Rahman #taman eko rimba #NGO alam sekitar #alam sekitar #risiko pemusnahan #geotapak #tempoh pajakan #perusahaan simen