Skip to main content

Malaysia

Pihak miliki rakaman 'dashcam' diminta bantu siasatan kemalangan libat kereta peronda

81749657109_TBPOLISPDRM.jpg
Seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun maut apabila kereta dipandu ibunya bertembung kereta peronda polis pada 3.35 petang 10 Feb. - Gambar hiasan

TELUK INTAN: Polis meminta pihak yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) tampil membantu siasatan kemalangan maut melibatkan kereta peronda polis di Puncak Jelapang, laluan Jalan Ipoh-Lumut, Selasa lepas.

Timbalan Ketua Polis Perak DCP Mohammad Azlin Sadari berkata setakat ini, dua individu telah tampil memberi keterangan untuk membantu siasatan termasuk bagi menentukan punca kemalangan. 

Advertisement

“Polis sentiasa telus dalam menjalankan siasatan. Kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk menentukan sama ada siasatan lanjut diperlukan atau jika bukti sudah mencukupi,” katanya.

Mohammad Azlin berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kempen Kesedaran dan Keselamatan Jalan Raya sempena Tahun Baharu Cina 2026 di Plaza Tol Teluk Intan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini hari ini.

Berhubung anggota polis terbabit kemalangan itu, beliau berkata pemandu masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh.

Sebelum ini, seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun maut apabila kereta dipandu ibunya bertembung kereta peronda polis pada 3.35 petang 10 Feb.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata mangsa Chong Zee Han meninggal dunia ketika menerima rawatan manakala ibunya Wong Mee Gee, 34, mengalami kecederaan pada muka.

Beliau berkata kemalangan juga melibatkan dua anggota berusia 42 dan 48 tahun yang mengalami kecederaan pada kaki, patah bahu kiri serta luka kelopak mata.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video