MALAYSIA
Pihak tertentu ambil kesempatan isu Zara Qairina, Jalur Gemilang untuk hangatkan suhu politik - PM Anwar

Anwar berkata, agensi penguat kuasa sudah diarah untuk mengambil tindakan sewajarnya, tanpa mengira status atau kedudukan, sama ada melibatkan tokoh besar, individu biasa mahupun ahli politik. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA: Perdana Menteri berkata, ada pihak tertentu mengambil kesempatan memainkan isu membabitkan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir dan Jalur Gemilang, untuk menghangatkan suhu politik di Malaysia.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan memainkan isu kematian pelajar Zara Qairina Mahathir dan Jalur Gemilang untuk menghangatkan suhu politik, tanpa mengira status atau kedudukan individu terlibat.
- Beliau mengingatkan bahawa unsur negatif seperti ketegangan kaum dan agama, budaya buli, serta kecelaruan sosial perlu ditangani segera kerana berpotensi melemahkan sendi negara jika dibiarkan berlarutan.
- Anwar menyeru agar seluruh rakyat, termasuk penguat kuasa dan guru, bersatu menolak sikap melampau, keangkuhan dan kebiadaban, serta menghentikan amalan merendahkan darjat berdasarkan kaum, keturunan atau warna kulit demi menjaga keharmonian dan kestabilan negara.
“Ini bukan saingan popular... bukan saingan siapa yang lebih popular... siapa yang sanggup menarik minat rakyat... ini soal menyelamatkan negara.
“... kita ada pengalaman bibit-bibit perpecahan dan tragedi rusuhan kaum… mulanya kecil, kali ini mungkin bendera, dulu mungkin siaran dan berita-berita palsu… jangan diizinkan dan mana boleh (perkara ini berlaku),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) Tahun 2025 di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, perkara yang menjurus ke arah ketegangan kaum dan agama, serta buli perlu ditangani segera kerana jika dibiarkan, ia akan melemahkan 'sendi' negara.
"Mutakhir ini timbul beberapa unsur negatif, membangkitkan isu ketegangan kaum dan agama, isu kecelaruan akibat rendah akal budi... budaya buli di sekolah, pejabat, jabatan kesihatan... isu-isu pembunuhan atau kematian yang meragut beberapa nyawa pelajar, pelajar pendidikan tinggi... dan tentunya mengusarkan.
"(Kita) harus ada kesepakatan, bukan sahaja penguat kuasa khususnya PDRM (Polis Diraja Malaysia), tetapi keseluruhan rakyat, keseluruhan guru untuk menyatakan hal pendidikan, untuk menyatakan hal ini, amalan yang merosakkan sendi dan melemahkan sendi negara ini perlu dihentikan," katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata demokrasi menjadi tonggak dalam sistem pemerintahan negara dan sikap melampau, ketelanjuran, keangkuhan serta kebiadaban wajib dihentikan bersama-sama.
“… sikap buli, sikap merendahkan darjat orang berdasarkan kaum atau keturunan atau warna kulit atau apa sahaja... hal ini, mesti dan wajib dihentikan dengan seluruh kekuatan," katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami