PETALING JAYA: Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM) menggesa audit keselamatan sekolah dilaksanakan secara berkala bagi memastikan persekitaran pembelajaran kekal selamat.
Presidennya, Mejar (K) Datuk Mohammad Ubaidillah Enam @ Iman berkata, pelaksanaan Garis Panduan Pengurusan Sekolah Selamat (GPPSS) oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu diperkukuh menerusi penilaian risiko dan audit keselamatan berkala.
“Penilaian ini wajar meliputi kawalan akses; kesesuaian bilangan, penempatan dan liputan tugas pengawal; pelaksanaan serta rekod rondaan.
"Selain latihan dan penyeliaan; liputan CCTV; keadaan pagar, pencahayaan dan persekitaran sekolah; serta keberkesanan komunikasi dan prosedur tindak balas kecemasan,” ujar Ubaidillah menerusi satu kenyataan, pada Isnin.
Beliau turut menegaskan kepentingan penyelarasan berkesan antara pengurusan sekolah, guru, warga sekolah dan penyedia perkhidmatan kawalan keselamatan bagi memastikan setiap aspek keselamatan dilaksanakan mengikut tanggungjawab masing-masing.
Menurut Ubaidillah, skop tugas, arahan tetap dan penempatan pengawal keselamatan perlu jelas serta bersesuaian dengan tahap risiko setiap sekolah.
"Syarikat kawalan keselamatan harus bertanggungjawab memastikan pengawal memahami penugasan, menerima latihan bersesuaian dan diselia dalam pelaksanaan tugas, selain memastikan laporan keselamatan disusuli tindakan sewajarnya oleh pihak sekolah.
"Sebarang penambahbaikan atau peluasan penugasan perlu disertai latihan, tenaga kerja, peralatan dan peruntukan bersesuaian supaya dapat dilaksanakan secara berkesan," kata Ubaidillah.