KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengulangi kata dua kepada parti Pas iaitu memilih sama ada untuk bersama UMNO atau Perikatan Nasional (PN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden UMNO itu menegaskan, keengganan Pas memenuhi syarat yang ditetapkan itu hanya akan menyaksikan Barisan Nasional (BN) bergerak secara sendirian pada PRU15.

Seandainya syarat itu dipenuhi pula, Pas, tegas Ahmad Zahid, mesti memutuskan hubungan dalam kerjasama bersama PN secepat mungkin walaupun tidak mendedahkan tempoh sebenar yang diberikan kepada parti tersebut.

Bahkan, Pas juga, jelas beliau, diberi kebebasan menggunakan logo parti itu dalam PRU15 kelak seandainya mereka sanggup memenuhi syarat yang dijanjikan.

"Bukan kami over confident tetapi kami yakin bahawa tanpa mereka (Pas) tentunya kita (UMNO dan BN) mesti bergerak mengikut kaedah kaedah peperangan menghadapi pilihan raya secara sendiri.

“Tetapi jika mereka mahu bersama UMNO dan BN mereka bebas untuk menggunakan lambang parti mereka, kita boleh bertoleransi untuk menjalin kebersamaan jentera bagi menghadapi pilihan raya," kata Ahmad Zahid lagi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Perjumpaan Khas bersama Presiden UMNO dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Menara Dato’ Onn, di sini, pada Selasa.

Ahmad Zahid berkata, syarat-syarat tersebut dinyatakan dalam pertemuanya dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang khususnya membabitkan gabungan parti itu dalam PN ketika ini.

"Saya telah akui pertemuan telah diadakan dengan Presiden Pas. apa yang telah kami bincangkan adalah perkara-perkara mengenai dasar dan tentunya perkara ini telah saya bawa ke Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Malaysia.

"Keputusan MKT adalah meangabsahkan jika Pas mahu bersama dengan kita setelah memenuhi syarat-syarat yang telah kita tentukan. Tanpa memenuhi syarat syarat itu maka kami akan bergerak secara solo,” jelasnya.

Dalam sidang media itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa pertemuan serta perbincangan
juga telah diadakan bersama Parti Gabungan Rakyat Sabah GRS baru-baru ini dan telah memperoleh sokongan daripada mereka.

GRS, kata Ahmad Zahid, akan menyokong setiap calon yang bakal dikemukakan oleh BN dalam pertarungan di gelanggang PRU15 kelak.

"Begitu juga dengan beberapa permohonan parti-parti yang mahu menyertai Barisan Nasional, Dewan Tertinggi BN akan memutuskanya dan kami yakin dengan empat parti teras, lapan parti gabungan dan tujuh lagi parti-parti baharu yang mahu menyertai BN, perkara ini akan kita bawa ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN," tambah Ahmad Zahid.

Dalam masa sama, UMNO, ujarnya, akan terus meletakkan kepercayaan kepada Ismail Sabri dalam menentukan tempoh masa yang sesuai untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

UMNO, jelas Ahmad Zahid, menghormati kuasa yang dimiliki oleh Perdana Menteri dan tidak akan mencampuri urusan tersebut.

Namun begitu, apa yang jelas, katanya, PRU15 mestilah diadakan tahun ini juga.