Pilihan Raya DBKL: Adakah pemilihan jamin ketelusan, bebas pengaruh asing? - Penganalisis

Panorama bandar raya Kuala Lumpur. Pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata kajian sedang dijalankan berkaitan pelaksanaan PBT di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pengarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali mahu rasional pelaksanaan pilihan raya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilihat melangkaui isu kaum; dikotomi Melayu dan bukan Melayu.
Ringkasan AI
- Pelaksanaan pilihan raya DBKL perlu menumpukan isu integriti pentadbiran dan kecekapan, bukan semata-mata naratif kaum.
- Cadangan wujud agar Datuk Bandar dilantik melalui Parlimen bagi mengelakkan polemik politik berpanjangan.
- Pemilihan langsung Datuk Bandar diyakini tidak menjejaskan institusi Raja Berperlembagaan serta mampu memberi mandat jelas untuk pembangunan bandar raya.
“DBKL dengan aset besar dan projek banyak. Adakah ahli politik yang terpilih nanti boleh dikawal oleh mafia atau kumpulan-kumpulan seperti yang ditonjolkan dalam filem Hollywood. Ini kebimbangan yang disuarakan oleh pertubuhan sivil sendiri.
“Adakah apabila Datuk Bandar dipilih secara demokratik, bagaimana kedudukannya dengan Menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan?
“Saya simpulkan isu pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ini bukan setakat soal naratif dikotomi Melayu dan bukan Melayu, bahkan berkait dengan isu pengurusan dan kecekapan berbanding dengan sistem sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Mazlan turut berkongsi dapatan daripada perbincangan meja bulat disertainya yang mencadangkan agar pilihan raya seumpama ini tidak dilaksanakan, sebaliknya lantikan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibuat menerusi lantikan parlimen.
Menurutnya, kaedah ini akan menyelesaikan polemik politik yang berpanjangan dan berlebihan seperti yang timbul ketika ini.
Dalam temu bual sama, Timbalan Ketua (Strategi), Ibu Pejabat Asia UNSDSN, Universiti Sunway, Prof. Wong Chin Huat pula berkata, pemilihan ini akan memberi kelebihan kepada rakyat terbanyak dan pada masa yang sama tidak menjejaskan institusi Yang di-Pertuan Agong.
“Saya hendak tegaskan jika kita pilih (pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur) melalui demokrasi berpresiden iaitu pemilihan langsung Datuk Bandar, ia sama sekali tidak akan menjejaskan institusi Raja Berperlembagaan.
“Ini kerana ini sistem yang digunakan di United Kingdom, Jepun dan sebagainya. Pemilihan ketua eksekutif secara langsung adalah untuk membolehkan dia mendapat mandat yang besar untuk membangunkan bandar raya,” katanya.
Untuk konteks, pada Isnin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, kajian sedang dijalankan berkaitan pelaksanaan PBT di ibu kota, termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Beliau berkata, kajian itu dijalankan sejak Disember lalu, selepas Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian dikemuka Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025 untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960, bagi melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.
Katanya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sudah memulakan kajian itu pada hujung tahun lalu.
Agenda AWANI: Syor Pilihan Raya Datuk Bandar
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


