MALAYSIA
Pilihan raya separuh inklusif perbuatan tidak betul, kata ASEAN kepada Myanmar

Mohamad berkata, pelaksanaan proses yang tidak menyeluruh, tetapi semata-mata demi menunjukkan Myanmar sebuah negara demokratik, adalah perbuatan yang tidak betul. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Tiada guna Myanmar yang kini di bawah pimpinan Junta Tentera, untuk membuat pilihan raya umum, jika ia bersifat separa inklusif, dan hanya melibatkan sebahagian sahaja wilayahnya.
Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pelaksanaan proses yang tidak menyeluruh, tetapi semata-mata demi menunjukkan Myanmar sebuah negara demokratik, adalah perbuatan yang tidak betul.
Jelasnya, hanya dengan mematuhi Konsensus Lima Perkara ASEAN (5PC) tersebut, barulah semua pihak di Myanmar boleh berbincang dan mencapai kata putus untuk melakukan pilihan raya yang adil dan inklusif.
“Kami ingin tegaskan dari sini bahawa tiada gunanya mengadakan pilihan raya jika ia tidak melibatkan semua pihak - hanya separuh atau tiga perempat, dan ada pihak yang dikenakan sekatan serta tidak dibenarkan menyertai. Itu tidak wajar.“Bila ditanya sama ada ada konsensus, jawapannya ialah ya - semua pihak menyatakan bahawa pilihan raya bukan keutamaan sekarang. Keutamaan kami ialah Konsensus Lima Perkara,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media penutupan Mesyuarat Menteri-menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58, dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan yang berlangsung antara 8 hingga 11 Julai.
5PC yang dimeterai di Mesyuarat Pemimpin ASEAN di Jakarta April 2021, selepas junta tentera merampas kuasa daripada kerajaan di Myanmar.
Lima perkara tersebut ialah menggesa pemberhentian segera keganasan, mengadakan dialog antara semua pihak, pelantikan utusan khas, membenarkan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN dan membenarkan utusan khas ASEAN melawat Myanmar untuk bertemu semua pihak.
Dalam pada itu Mohamad berkata, Menteri-menteri Luar ASEAN terus menyatakan sokongan terhadap usaha Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim, dalam memudah cara penyelesaian aman terhadap krisis tersebut.
“Kami juga menekankan kepentingan kesinambungan pendekatan ASEAN dalam menangani krisis ini.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami