KUALA LUMPUR: Pindaan Perlembagaan Persekutuan menerusi Rang Undang-Undang (RUU) yang dibentangkan hari ini di Dewan Rakyat akan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, persefahaman dan kestabilan politik, ekonomi serta sosial di Malaysia yang dicapai melalui RUU itu adalah penting bagi membentuk asas yang kukuh dalam sebuah 'Keluarga Malaysia'.

"Pelaksanaan pindaan Perlembagaan Persekutuan ini juga adalah selaras dengan Agenda Transformasi Kerajaan untuk mengembalikan keyakinan rakyat termasuk pelabur asing terhadap kemampuan kerajaan yang memerintah demi memastikan kestabilan politik dan dasar negara ke arah pembangunan sosio ekonomi yang mampan," katanya ketika membetangkan RUU tersebut.

Ujarnya, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2021 tersebut adalah bagi meminda Perlembagaan Persekutuan berkaitan komitmen kerajaan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sebelum RUU itu dibentangkan, kata Wan Junaidi, cadangan pindaan tersebut telah terlebih dahulu dipersetujui oleh kedua-dua kerajaan negeri Sabah dan Sarawak.

"Cadangan pindaan ini juga telah dibawa ke Jawatankuasa Rakan Sekutu 11 Oktober 2021 dan telah dipersetujui di peringkat Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 pada 18 Oktober 2021 dan Jemaah Menteri pada 20 dan 29 Oktober 2021," jelasnya.

Menurut rang undang-undang itu, Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan dicadang dipinda dengan menggantikan Fasal (2) kepada Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada:

(a) Negeri-negeri Tanah Melayu iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu; dan

(b) Negeri-Negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.

Pindaan juga dicadang pada Fasal 2 Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan takrif Hari Malaysia dan menggantikan takrif Persekutuan selaras semangat Perjanjian Malaysia bertarikh 9 Julai 1963 dan menurut perjanjian berhubung pemisahan Singapura daripada Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat bertarikh 7 Ogos 1965.

Selain itu, rang undang-undang itu juga bertujuan meminda Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan dengan menggantikan perenggan (a) Fasal 6 iaitu “berhubung dengan Sarawak, seseorang yang merupakan warganegara dan yang tergolong dalam salah satu daripada ras yang dinyatakan dalam undang-undang Negeri sebagai ras asli bagi Negeri itu” serta memotong Fasal 7.