Ikuti perkembangan Banjir Aceh dan Sumatera di sini
MALAYSIA

Pindaan Akta 134: Menteri bakal diberi kuasa lantik Ahli Majlis

Bernama 10/12/2025 | 15:40 MYT
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang bercakap pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang sedang dirangka Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dijangka memberi kuasa kepada Menteri untuk melantik Ahli Majlis yang memiliki pengetahuan dan kepakaran khusus dalam hal ehwal masyarakat Orang Asli.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang, berkata perkara itu selaras dengan cadangan penubuhan Majlis Penasihat Orang Asli Semenanjung Malaysia dalam draf Rang Undang-Undang berkenaan, yang dibangunkan berdasarkan model New Zealand Maori Council (NZMC).

"Melalui penubuhan majlis ini, kerajaan berharap suara dan aspirasi masyarakat Orang Asli dapat diperkukuhkan melalui kerangka perundangan.

"Ini selaras dengan keazaman kendiri (self-determinant) sebagai prinsip utama, sebagaimana digariskan dalam United Nations Declaration on the Rights of Indigenous People (UNDRIP), yang disokong Malaysia sejak 2007," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Negara, hari ini.

Pada 31 Julai lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan bercadang untuk mewujudkan Majlis Penasihat Orang Asli bagi memastikan suara dan aspirasi mereka didengar dalam menentukan hala tuju pembangunan kaum itu.

Rubiah berkata penubuhan majlis itu berdasarkan model NZMC yang sebelum ini dilihat berjaya mempromosikan pembangunan sosial, ekonomi, pendidikan dan budaya Maori.

Beliau menjelaskan, bagi memastikan pandangan Orang Asli diambil kira dalam kajian semakan pindaan akta itu termasuk peruntukan berkaitan tanah, kementerian telah mendapatkan maklum balas daripada 1,336 responden merangkumi pelbagai pihak berkepentingan, termasuk masyarakat Orang Asli sendiri.

"Kementerian juga telah mengadakan sesi libat urus, bengkel dan townhall supaya pandangan Orang Asli sebagai pemegang taruh utama dapat dirumus secara inklusif dan holistik. Cadangan pindaan akta ini juga telah dibentangkan dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) dan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) serta diharapkan dapat dibentangkan di Parlimen pada 2026," katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, berkata kementerian sentiasa komited membangunkan bakat huffaz melalui pelbagai inisiatif bagi memastikan kumpulan berkenaan mendapat akses kepada latihan kemahiran relevan.

"Pembangunan bakat huffaz ini tidak hanya dilaksanakan melalui institusi latihan di bawah kementerian seperti Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM) Kampus Selandar, tetapi turut dilaksanakan oleh institusi latihan lain merentas kementerian.

"Di bawah tadbir urus Majlis Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (MPKK), KESUMA menubuhkan Jawatankuasa Kecil (JKK) TVET Tahfiz bagi memastikan pembangunan latihan kemahiran untuk institusi tahfiz dan sekolah pondok dilaksanakan secara inklusif," katanya.

Abdul Rahman berkata melalui jawatankuasa ini, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menyelaras inisiatif untuk memperluas akses Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar tahfiz, termasuk pemetaan keupayaan institusi, libat urus bersama penyedia TVET dan pembangunan hala tuju program kemahiran yang sesuai dengan konteks pendidikan tahfiz.

-- BERNAMA



#ahli majlis #Rubiah Wang #pindaan Akta Orang Asli 1954 #Akta 134