[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Pindaan dua RUU pekerjaan pastikan pasaran buruh yang responsif - Majlis Peguam Malaysia

Bernama 25/11/2025 | 15:30 MYT
Majlis Peguam Malaysia turut memuji penambahbaikan dalam kadar faedah yang menawarkan sokongan lebih bermakna kepada pekerja yang menghadapi gangguan pekerjaan. - Gambar fail/Majlis Peguam Malaysia
KUALA LUMPUR: Majlis Peguam Malaysia menyifatkan pembentangan dua rang-undang pindaan utama yang bertujuan memperkukuh kerangka perlindungan sosial di negara ini, sebagai langkah penting ke arah mewujudkan pasaran buruh lebih responsif dan bersedia untuk masa depan.


Ringkasan AI
  • Majlis Peguam Malaysia menyifatkan dua rang-undang pindaan utama, RUU Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 dan RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025, sebagai langkah penting memperkukuh kerangka perlindungan sosial dan memodenkan perkhidmatan pekerjaan.
  • Pindaan ini termasuk penambahbaikan signifikan seperti elaun bantuan mobiliti RM1,000, peningkatan faedah, dan perkhidmatan lebih bermakna bagi pekerja yang menghadapi gangguan pekerjaan.
  • Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 diperluas untuk perlindungan kemalangan di luar waktu bekerja dan memperkenalkan caruman tiga fasa untuk keselamatan pekerjaan yang lebih berkesan.


Presiden Majlis Peguam Malaysia Mohamad Ezri Abdul Wahab berkata Rang Undang-Undang (RUU) Sistem Insurans Pekerjaan (Pindaan) 2025 dan RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 yang masing-masing dibentangkan pada 4 Nov dan 30 Okt lepas di Dewan Rakyat, memperkenalkan penambahbaikan signifikan yang meluaskan liputan, meningkatkan faedah dan memodenkan perkhidmatan pekerjaan.

"Pembaharuan ini selaras dengan matlamat untuk memastikan pasaran buruh yang lebih responsif, inklusif dan bersedia untuk masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pindaan terhadap Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 [Akta 800] termasuk pengenalan elaun bantuan mobiliti sebanyak RM1,000 untuk membantu individu yang mendapat pekerjaan dalam tempoh 12 bulan selepas pencarian pekerjaan terakhir atau elaun pekerjaan semula awal, mengurangkan kos peralihan untuk mencari kerja baharu.

Majlis Peguam Malaysia turut memuji penambahbaikan dalam kadar faedah yang menawarkan sokongan lebih bermakna kepada pekerja yang menghadapi gangguan pekerjaan termasuk menaikkan elaun latihan daripada RM10-RM20 kepada RM30 sehari, meningkatkan yuran latihan maksimun daripada RM4,000 kepada RM7,000 dan menambah elaun pekerjaan semula awal daripada 25 peratus kepada 50 peratus.

Mohamad Ezri berkata pindaan itu memperkukuh keupayaan kerajaan untuk melaksanakan program pasaran buruh yang aktif dengan memperkasakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi menjalankan skim kerajaan, inisiatif latihan dan bantuan kewangan untuk meningkatkan kesediaan tenaga kerja.

Beliau berkata Akta 800 juga diperluas bagi memperkasakan PERKESO untuk menyediakan perkhidmatan pekerjaan kepada semua individu termasuk bukan pencarum dana insurans pekerjaan, melalui pembrokeran pekerjaan seperti padanan pekerjaan dan khidmat nasihat kerjaya serta pelantikan ejen pekerjaan berlesen untuk membantu pembrokeran pekerjaan.

"Walaupun kami mengakui potensi nilai perkhidmatan yang diperluas ini, kami menekankan keperluan kejelasan berhubung rangka kerja tadbir urus dan kos yang berkaitan dengan pelantikan ejen pekerjaan. Tambahan pula, Majlis Peguam Malaysia mempersoalkan sama ada PERKESO secara institusi sesuai untuk mengambil peranan pembrokeran pekerjaan.

"Selain itu, Majlis Peguam menyatakan kebimbangan berhubung keperluan baharu bagi majikan untuk memaklumkan PERKESO tentang semua kekosongan jawatan atau jawatan baharu sebelum mengambil pekerja, serta memberikan laporan apabila jawatan itu diisi.

"Walaupun kewajiban ini bertujuan memperkukuh pemadanan pekerjaan dan data pasaran buruh, langkah itu mungkin menyebabkan bebanan pentadbiran yang tidak perlu serta memerlukan garis panduan yang jelas berkaitan masa dan prosedur," katanya.

Sementara itu, berhubung Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, Majlis Peguam Malaysia menyatakan sokongan atas pengenalan perlindungan kemalangan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan yang memperluas liputan perlindungan PERKESO terhadap kemalangan yang berlaku di luar waktu bekerja di bawah model LINDUNG 24/7 yang baharu.

Mohamad Ezri berkata seksyen 96B yang baharu pula membenarkan pekerja formal menerima faedah keselamatan sosial walaupun kemalangan berlaku di luar waktu bekerja.

Beliau berkata pindaan itu juga memperkenalkan caruman tiga fasa untuk memastikan dana PERKESO dapat digunakan dengan lebih berkesan untuk melindungi pekerja dalam situasi kritikal dengan kadar caruman pekerja akan dinaikkan secara berperingkat untuk menyokong perlindungan kecederaan bukan berkaitan pekerjaan, manakala kadar majikan tidak berubah.

Beliau berkata walaupun perlindungan yang diperluas ini satu pembaharuan utama, komunikasi yang jelas dan berkesan amat diperlukan untuk memastikan pekerja sentiasa bersedia dengan peningkatan caruman secara berperingkat.

"Pembaharuan ini menunjukkan langkah ke arah meningkatkan keselamatan pekerjaan, menggalakkan mobiliti buruh, meningkatkan kelayakan faedah dan memastikan rangka kerja perlindungan sosial kekal responsif terhadap realiti tenaga kerja yang berubah-ubah.

"Majlis Peguam Malaysia menggalakkan libat urus berterusan dengan pihak berkepentingan termasuk pekerja, majikan dan masyarakat untuk memastikan pelaksanaannya jelas, telus dan saksama.

"Badan ini bersedia menyertai rundingan pada masa hadapan untuk menyokong pembangunan progresif undang-undang pekerjaan dan perlindungan sosial di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA


#bantuan kewangan #Dewan Rakyat #Majlis Peguam Malaysia #pindaan utama