KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun gagal memperoleh sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat, sekali gus tidak dapat diluluskan.
Keputusan itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas undian dijalankan sejurus tamat sesi perbahasan yang melibatkan 41 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang.
Advertisement
Menurut beliau, jumlah sokongan yang diperoleh tidak memenuhi syarat majoriti dua pertiga seperti yang ditetapkan bagi pindaan Perlembagaan Persekutuan.
“Yang tidak hadir 32, yang tidak mengundi 44, yang bersetuju 146. Oleh yang demikian, jadi keputusannya adalah kurang daripada dua pertiga majoriti yang bersetuju,” katanya ketika mengumumkan keputusan undian di Dewan Rakyat, pada Isnin.
RUU berkenaan bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan seseorang Perdana Menteri kepada 10 tahun, sama ada secara berturut-turut atau tidak.
Pindaan tersebut memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga daripada keseluruhan ahli Dewan Rakyat untuk diluluskan.