JAKARTA: Malaysia sedia untuk berkongsi pengalaman kepada Indonesia yang akan memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia juga terbuka menawarkan kerjasama daripada syarikat-syarikat tempatan untuk membangunkan projek berskala mega.

"Malaysia percaya pemindahan dan pembangunan Ibu Kota Negara baru Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan Timur adalah langkah yang tepat, seperti yang pernah lakukan oleh Malaysia 25 tahun yang lepas, dengan pemindahan pusat pentadbiran dari Kuala Lumpur ke Putrajaya.

"Malaysia sedia untuk berkongsi pengalaman berkaitan hal ini dan juga syarikat-syarikat daripada Malaysia bersedia untuk berkerjasama dan turut serta untuk membangunkan projek yang berskala mega ini," katanya dalam kenyataan bersama hari ini. 

Beliau sebelum itu mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden Indonesia, Joko Widodo di Istana Presiden, Bogor, Jawa Barat hari ini.


[TERKINI] Kenyataan bersama Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia

Ismail Sabri dalam masa sama mengalu-alukan pelabur-pelabur dari Indonesia untuk datang melabur di Malaysia.

Indonesia merupakan rakan perdagangan dan pelaburan yang penting dan strategik bagi Malaysia, dengan jumlah perdagangan dua hala berjumlah AS$15.67 billion pada tahun 2020.

Pada suku ke-2 tahun 2021, jumlah pelaburan Malaysia di Indonesia adalah sebanyak AS$2.53 billion dan pelaburan Indonesia di Malaysia AS$1.16 billion.


Buletin AWANI Khas: PM bertemu Presiden Indonesia