Skip to main content

Malaysia

PISA 2025: Akademik merosot walau murid semangat belajar, cerminan kelemahan sistem - Pakar

Menurut Anuar Ahmad, murid Malaysia bukan sahaja mahu belajar, malah mencatatkan kecenderungan yang sangat tinggi untuk mendapatkan bantuan apabila menghadapi kesukaran. - Gambar hiasan
Menurut Anuar Ahmad, murid Malaysia bukan sahaja mahu belajar, malah mencatatkan kecenderungan yang sangat tinggi untuk mendapatkan bantuan apabila menghadapi kesukaran. - Gambar hiasan

Advertisement

BANGI: Data Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025 mendedahkan murid Malaysia mempunyai tahap motivasi dan ketekunan yang tinggi, namun ia gagal diterjemahkan kepada pencapaian akademik memberangsangkan.

Dapatan PISA 2025 menunjukkan sebanyak 80 peratus murid Malaysia menyatakan keinginan yang kuat untuk mempelajari pelbagai perkara, kira-kira 79 peratus daripada mereka mengakui sanggup berusaha lebih gigih apabila berhadapan tugasan sukar.

Timbalan Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, data ini menafikan tanggapan umum kononnya kemerosotan kualiti pendidikan berpunca daripada sikap murid tidak minat belajar.

“Data PISA 2025 menimbulkan tanda tanya kepada kita, mengapa di saat kesediaan, ketabahan dan motivasi murid yang tinggi untuk belajar tetapi pencapaian mereka masih rendah?,’” soal beliau dalam satu kenyataan, di sini, pada Khamis.

Jelasnya, kegagalan Malaysia untuk mencapai purata skor Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) dalam bidang Sains, Matematik dan Bacaan memberi isyarat masalah sebenar terletak pada keberkesanan sistem pembelajaran sedia ada.

Menurut Anuar Ahmad, murid Malaysia bukan sahaja mahu belajar, malah mencatatkan kecenderungan yang sangat tinggi untuk mendapatkan bantuan apabila menghadapi kesukaran.

Namun, sistem pendidikan negara dilihat masih belum cukup berkesan untuk menukarkan rasa ingin tahu dan ketekunan murid tersebut kepada penguasaan ilmu yang mendalam.

“Ini sepatutnya mendorong kita melihat semula kurikulum, pedagogi, pentaksiran, masa pembelajaran, kualiti interaksi guru-murid dan keupayaan sistem memberikan intervensi yang berbeza mengikut keperluan murid,” katanya lagi.

Beliau menegaskan, reformasi pendidikan Malaysia kini perlu berganjak daripada pendekatan yang sekadar mementingkan akses atau kemasukan ke sekolah kepada pendekatan yang berorientasikan hasil pembelajaran sebenar.

Langkah itu penting bagi memastikan motivasi tinggi dalam kalangan murid tidak berakhir dengan pencapaian akademik yang rendah.

Must Watch Video

Advertisement