TAPAH: Piza makanan terkenal dari Itali, boleh dinikmati secara tradisional dibakar menggunakan kayu api dan sajian dinikmati berlatarkan suasana klasik perkampungan Melayu di sini yang terkenal dengan keindahan air terjun di Lata Kijang dan Lata Iskandar.

Jika anda mahu merasakan keenakan hidangan tradisional Neapolitan ini, jangan lepaskan peluang mengunjungi kedai Pizza Bakar Tapah Wood Fire di Batu 1, Jalan Pahang dekat sini, milik dua sahabat yang meneroka perniagaan baharu berkonsepkan alam semula jadi.

Menurut Ishamuddin Abdul Malik, 46, dan rakannya Iswadi Shadom, 46, piza yang dibakar dengan kayu api mempunyai aroma dan tarikan tersendiri.

Dapur kayu api yang digunakan untuk membakar piza itu, terletak di bawah rumah tradisional Perak berusia 100 tahun, milik moyang Ishamuddin yang begitu ikonik selain hiasan landskap pokok paku semun dan timbunan kayu api yang dikutip dari sungai membuatkan anda dekat dengan alam semula jadi.

Mereka menawarkan empat hidangan piza iaitu pepperoni ayam, pepperoni daging serta daging dan ayam yang didatangkan mengikut dua saiz iaitu besar dan sederhana.

"Kami ada dua saiz iaitu M (9 inci) dan L (12 inci) iaitu saiz piza yang boleh dinikmati sehingga empat orang dan kesemua saiz ini dijual bermula harga RM17 hingga RM25.

"Tarikan utama piza kami adalah sos tomato yang digunakan kerana ia telah diubah suai mengikut selera masyarakat Malaysia selain doh pizanya yang lembut, ramuan yang digunakan segar dan rasa 'bakar' pada piza kami menjadikan ia lebih autentik," katanya ketika ditemui Bernama di premis tersebut di sini.

Tambah Ishamuddin lagi, idea menggunakan kayu api pokok getah sebagai bahan bakar kerana mahukan kelainan tersendiri selain menyesuaikan sajian itu dengan konsep kembali ke alam semula jadi.

"Pembuatan piza di Itali pun masih ada menggunakan ketuhar tradisional jadi tidak salah kita praktikkan dalam penghasilan piza di Malaysia dan penerimaan daripada pelanggan amat menggalakkan.

"Kayu api akan menghasilkan bau asap yang berbeza dan mampu membuat rasa piza lebih sedap berbanding ketuhar elektrik, macam kita masak rendang ayam umpamanya rasa rendang dapur gas dan dapur kayu memberi kelainan yang cukup ketara," katanya.

Menurut Iswadi yang juga ditugaskan sebagai pembakar piza, idea untuk memulakan perniagaan itu tercetus sejak dua bulan yang lalu dan mereka mengambil masa hampir sebulan mengadun bahan bagi membuat doh sahaja bagi memastikan ia sesuai untuk dijual.

"Kami mencuba pelbagai bancuhan, bertanyakan kepada mereka yang mempunyai pengalaman termasuk sukatan dan bahan-bahan yang digunakan kerana doh piza antara bahan terpenting selain sos tomato di atasnya.

"Alhamdulillah sebulan kami cuba dan ubah akhirnya kami menjumpai adunan yang sesuai, piza yang dihasilkan walaupun sudah sejuk rotinya masih lembut dan masih boleh dimakan," katanya.

Katanya, tempoh pembakaran piza menggunakan dapur kayu api lebih singkat iaitu kira-kira tiga hingga lima minit sahaja bergantung kepada kepanasan suhu dapur.

"Kalau guna kayu api dengan suhu antara 400 hingga 500 darjah Celsius kita boleh cecah berbanding ketuhar biasa yang memerlukan tempoh lama untuk masak. Sangat enak dimakan ketika masih panas dan jika sudah sejuk ia masih sedap dimakan kerana dohnya masih lembut," katanya.

Katanya, setakat ini kebanyakan pelanggan memberi maklum balas positif termasuk memuji ia mempunyai tekstur lembut serta sedap dan boleh dijual hingga 50 ke 80 keping sehari.

Iswadi berkata idea untuk menjual piza kayu api itu timbul selepas Ishamuddin meminta beliau memikirkan perniagaan baharu di tapak rumah milik moyangnya, di sini.

"Beliau kembali ke kampung untuk bersihkan kawasan rumah moyangnya dan kemudian timbul idea untuk meneroka pengalaman perniagaan baharu yang tidak ada lagi di Tapah berkonsepkan semula jadi dalam suasana kampung.

"Pada mula berniaga dahulu, sekadar dua meja sahaja kami buka di bawah rumah dan apabila sambutan di luar jangkaan kami buat lagi meja daripada perabot terpakai serta kayu-kayu hutan," katanya sambil menambah beliau dan rakannya mempunyai rancangan untuk mengembangkan lagi perniagaan piza di lokasi di tepi sungai jika mempunyai modal yang cukup kelak.

"Kami sendiri gemarkan sesuatu yang bersifat tradisional dan jarang digunakan oleh kebanyakan orang pada masa kini apatah lagi melibatkan alam semula jadi.

"Masa nak buka premis ini pun kami bersetuju premis haruslah mempunyai ciri dan konsep klasik sepenuhnya bermula daripada hidangan sehingga reka bentuk premis ini kerana ia serasi dengan jiwa kami," katanya.

Pizza Bakar Tapah Wood Fire beroperasi setiap hari kecuali Khamis dan Jumaat bermula 3 petang hingga 10 malam.

-- BERNAMA