Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mengarahkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) supaya menolak semua usul yang dicadangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) oleh MajuPerak Holdings Berhad (MHB), yang berlangsung pada Isnin.

PKNP adalah pemegang saham terbesar dalam MHB.

Ahmad Faizal berkata, beliau telah mengambil maklum hasrat MHB yang bercadang meluluskan usul melantik semula tiga pengarah selain mengekalkan pengarah-pengarah bukan-eksekutif.

"Dalam mesyuarat itu juga, mereka (MHB) bercadang untuk meluluskan pembayaran RM386,250 Fi Pengarah bagi laporan kewangan berakhir 31 Dis 2017.

"Meluluskan imbuhan pengarah kepada pengarah-pengarah bukan-eksekutif dengan nilai mencecah RM150,000 dari 28 Jun sehingga AGM yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.

Beliau berkata para pengarah MHB tidak wajar menerima bayaran fi yang besar berikutan prestasi yang mendukacitakan dalam laporan kewangan tahun lepas apabila mencatatkan kerugian bersih RM 11.01 juta yang dicatatkan pada laporan tahunan yang sama.

Malah untuk imbuhan bagi tahun kewangan 2018, ia mestilah mencerminkan keadaan semasa yang serba mencabar, katanya.

"Khidmat para pengarah sedia ada juga tidak sepatutnya disambung bagi memberi laluan kepada perubahan yang selari dengan polisi pentadbiran baru yang memberi keutamaan untuk memulihkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi PKNP berkata, PKNP yang memiliki saham majoriti dalam MHB telah menolak semua usul berkenaan demi kepentingan kerajaan Perak dan rakyatnya.

MHB adalah syarikat pelaburan yang disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia, yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sektor perumahan dan hartanah bagi Kumpulan PKNP. -- Bernama