KUALA LUMPUR:Tempoh negara yang kini berada dalam situasi pandemik COVID-19, pelaksanaan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah masa sesuai bagi perangi rasuah.

Menurut Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub, ini kerana hanya golongan tertentu yang berkuasa dalam menggerakkan hasrat hentikan rasuah berkenaan.

“Ketika tempoh pandemik COVID-19, PKP ini, darurat ini, ia merupakan peluang terbaik untuk kita gerakkan kempen bagi membantu mengekang gejala rasuah.

“Ini kerana, sekarang yang ada kuasa cuma hanya ada tiga pihak, nombor satu Allah, nombor dua Perdana Menteri yang ada kuasa darurat, dan nombor tiga rakyat.

“Parti politik sekarang ini tidak ada kuasa, jadi kalau ada satu kebangkitan rakyat secara besar-besaran untuk bangkit menolak rasuah, menolak amalan rasuah, menolak pemimpin rasuah, dan menggesa semua orang rasa ada malu dan takut.

“Kita desak supaya parti-parti politik buat satu reformasi yang besar, tukar pemimpin sekarang dari setiap peringkat,” jelas beliau.


PKP 2.0, darurat, tempoh sesuai negara perangi rasuah

Dakwanya, rakyat Malaysia kini kebanyakan mempunyai ukuran yang tidak sepatutnya apabila disoal berkaitan halal dan haram.

“Kita di Malaysia ini, kita punya ukuran, babi itu haram tetapi rasuah tidak haram. Jadi maknanya kalau kita boleh teliti, itulah ukuran kita dan orang yang bukan beragama Islam pun, marah dengan pengamal rasuah, tetapi mereka juga amalkan rasuah.

“Di pejabat peguam, dalam projek pembangunan, di dalam sektor korporat, rasuah itu merata, namun kita sering menyalahkan ahli politik.

“Jadi, rasuah ini bukan isu orang politik sahaja, isu ekosistem, ekosistem yang mana maknanya terlampau ramai orang terlibat dengan rasuah, dengan budaya menerima dan memberi rasuah,” dakwanya lagi.


Gerakan banteras rasuah, gerakan semua pihak

Beliau berkata demikian dalam rancangan bual bicara Perspektif pada malam Isnin, bagi membincangkan kempen atau gerakan yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa bagi membantu mengekang gejala rasuah yang semakin berleluasa di negara ini.


Perspektif: Datuk Hussamuddin Yaacub