PKP 2.0: Surat kebenaran hanya perlu dipohon sekali sahaja

Muhafandi Muhamad
Januari 16, 2021 01:36 MYT
19 sekatan jalan raya di 10 sempadan antara jajahan diadakan semasa pelaksanaan PKP 2.0. - Foto fail
TUMPAT: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh Kelantan bermula hari ini.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, bagi melaksanakan perintah berkenaan, 19 sekatan jalan raya di 10 sempadan antara jajahan diadakan.
Iannya turut membabitkan 448 anggota polis yang bertugas pada peringkat awal.
Jelasnya, peniaga yang ingin meneruskan perniagaan dan perlu merentas daerah, digesa mendapat surat kebenaran dari balai polis berdekatan.
“Orang ramai boleh datang ke balai bagi mendapatkan surat kebenaran bermula hari ini sehingga 26 Januari.
“Tidak perlu datang tiap-tiap hari. Ini antara pembaharuan yang kami lakukan untuk memudahkan masyarakat bergerak dan pada masa yang sama ekonomi dapat dijana,” katanya.
Kelonggaran ini turut diberikan kepada tukang rumah yang boleh memohon secara persendirian.
Pembaharuan PKP 2.0 dengan hanya sekali memohon surat kebenaran bagi pekerja berkenaan antara keputusan yang dibuat bagi memudahkan golongan terlibat.
Selain itu, ketua balai akan turut berada di pos sekatan bagi memudahkan pengeluaran surat kebenaran kepada pengguna lalulintas.
Katanya hasil pemerhatiannya, kebanyakan rakyat Kelantan sudah mengetahui PKP yang dilaksanakan bermula hari ini.
Pematuhan operasi standard (SOP) yang ditetapkan perlu dipatuhi antaranya hanya ketua isi rumah dibenarkan membeli belah di pasar, muatan kenderaan persendirian tidak melebihi dua orang dan sebagainya.
#PKP #PKP 2 0 #Kelantan #rentas negeri #Sekatan Jalan Raya #Shafien Mamat #polis