KUALA LUMPUR:Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 246 individu atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, semalam.

Daripada jumlah itu, 236 telah dikenakan kompaun manakala 10 direman.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, antara yang turut ditahan ialah 91 individu yang terbabit dengan aktiviti pusat hiburan.

"Seramai 84 individu ditahan kerana gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan dan 44 individu ditahan kerana tidak memakai pelitup muka.

"Seramai 23 individu turut ditahan kerana gagal mematuhi penjarakan fizikal dan empat lagi kerana lain-lain kesalahan," katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan PKP di sini, hari ini.

BACA: PKPD di Asrama Pekerja Westlite, ini 5 tumpuan kenyataan media Ismail Sabri hari ini

Dalam masa yang sama, beliau memaklumkan seramai 76 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua tekong ditahan, selain lapan kenderaan darat dirampas dalam Operasi Benteng.

"Operasi Benteng yang melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) dijalankan bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak COVID-19," katanya. 

Justeru tegas Ismail Sabri, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

Sementara itu, tambahnya, pasukan petugas Operasi Pematuhan diketuai PDRM turut menjalankan sebanyak 44,501 pemeriksaan untuk memantau dan menguatkuasa pematuhan SOP PKP Pemulihan (PKPP).