PUTRAJAYA: Peruntukan pakej rangsangan eonomi sedia ada termasuk menerusi Belanjawan 2021 adalah mencukupi, setakat ini, kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan itu berkata, kerajaan akan mempertimbangkan sekiranya pakej rangsangan ekonomi yang baharu secara lebih bersasar diperlukan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Apabila kita umumkan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) semuanya untuk sepanjang tahun.

"Kita lihat semua bantuan ini masih lagi berjalan, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) baru sahaja dibayar dan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) 3.0 akan dibayar pada Jun ini.

"Jadi pada pendapat kita, apa yang telah diperuntukan buat masa ini adalah mencukupi.

"Namun sekiranya (pakej rangsangan ekonomi bersasar) diperlukan kita akan laksanakan seperti 16 pakej ekonomi yang kerajaan telah sediakan sebelum ini," katanya pada Pada Sidang Media Kementerian Kewangan Malaysia berhubung PKP 3.0 di sini pada Rabu.

BACA: Hampir 2.6 juta pencarum KWSP miliki kurang RM1,000 dalam akaun 1

Jelas Tengku Zafrul, sebanyak RM48 bilion daripada RM65 bilion peruntukan dana COVID-19 telah digunakan setakat April tahun ini.

Katanya, sebanyak RM17 bilion lagi akan dibelanjakan dalam masa terdekat.