PKP: 85 hari bertugas tanpa henti, Sarjan Azahar lega dapat sambut hari jadi anak

Adie Sufian Zulkefli
Jun 10, 2020 01:08 MYT
Azahar menunjukkan kek diterima dari seorang jururawat yang berhenti di sekatan jalan raya untuk menghadiahkan kek "TQ Frontliners" kepadanya. - Astro AWANI
"Alhamdulillah. Lega. Segala tugasan Op COVID berakhir malam ini. Dapatlah saya menyambut hari lahir anak bongsu yang ke-11 Jumaat ini."
Demikian luahan Sarjan Azahar Ayub, 54 tahun, Penolong Pegawai Penyiasat yang bertugas di Cawangan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Selepas bertugas selama 85 hari tanpa henti, beliau merupakan antara yang paling gembira apabila dua sekatan jalan raya (SJR) di daerah ini ditutup sepenuhnya jam 12 malam tadi.
Katanya, anak bongsunya, Mohd Aniq Hanafi Azahar, 11 tahun, tidak henti menghubunginya sebaik mengetahui malam tadi adalah malam terakhir dia bertugas di SJR tersebut.
"Anak saya sibuk minta hadiah. Cuma saya seorang saja yang belum beri dia hadiah. Abang-abangnya semua dah beli hadiah untuknya, tempah melalui dalam talian, hantar terus ke rumah.
"Sebab itu dia asyik menelefon saya bertanya, saya nak beri hadiah apa. Saya pun belum beritahu dia apa saya akan berikan sebagai hadiah, saja buat kejutan. Biasanya saya akan belikan kek pada hari jadinya," katanya.
Azahar juga turut berterima kasih kepada rakan-rakan seperjuangan yang sudi menyambut hari lahirnya di sekatan Plaza Tol Alor Setar Selatan pada 28 Mei lalu.
Malah, malam tadi juga, Azahar bertuah apabila seorang jururawat Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) berhenti di sekatan itu semata-mata untuk menghadiahkan kek bertulis 'TQ Frontliners' kepadanya di atas pengorbanan mereka membantu memutuskan rantaian COVID-19.
Katanya, sepanjang 34 tahun bertugas dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), Op COVID adalah tugasan paling mencabar dan akan menjadi kenangan dalam lipatan sejarah hidupnya.
"Memang mencabar. Banyak kerenahnya berdepan dengan orang awam. Yang faham, fahamlah, tetapi yang tak faham, itu yang timbulkan macam-macam masalah.
"Walaupun kerajaan dah umum tak boleh rentas negeri, dia rentas juga. Apabila mereka sampai di sini, kita terpaksa keluarkan saman," kata Azahar.
Sementara itu, bagi Sarjan Syarifah Norshila Syed Mohamad, 31 tahun, dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Kota Setar, Op COVID ini sesuatu yang amat menyedihkan buatnya apabila ketuanya terkorban dalam nahas pada 19 April lalu.
Katanya, mendiang ASP Aldrin Gonda terbabit dalam kemalangan ketika dalam penugasan COVID dan meninggal di tempat kejadian.
"Masa dapat tahu itu, saya terus bergegas ke hospital. Dan saya dapat hantar jasadnya terus ke KLIA. Saya menyaksikan kerandanya masuk ke dalam kargo. Pengalaman pertama bagi saya. Tak pernah dialami sebelum ini, perkara seperti itu terjadi terhadap bos kita," katanya.
#Alor Setar #COVID-19 #hari lahir anak #hari terakhir PKP #jenayah #kemalangan #kerajaan #meninggal dunia #Op Covid #PKP #polis #rentas negeri #rumah #saman #sambut hari jadi anak #Sekatan Jalan Raya #siasatan #tol