PKP: Banyak tempahan tarian singa dibatal - Penggiat

Adie Sufian Zulkefli
Februari 10, 2021 04:41 MYT
Bagi jurulatih tarian singa, Lim Chee Hong, terdapat beberapa peralatan dan set tarian singa yang baharu ditempah untuk persembahan tahun ini. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Lebih 60 tempahan untuk mengadakan persembahan tarian singa dan naga terpaksa dibatalkan, malah ada diantaranya tempahan daripada acara kerabat diraja serta kerajaan negeri.
Ia susulan pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa untuk sambutan Tahun Baharu Cina kali ini tarian singa tidak dibenarkan berikutan negara sedang berada dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.
Menurut Naib Pengerusi Persatuan Hong Shan Kedah, Khoo Zi Hang, kesemua tempahan mula dibatalkan sejak tiga hari lalu sebaik pengumuman penuh dikeluarkan pihak MKN.
Khoo yang turut mewakili persatuan lain akur dan apa yang menjadi keutamaan sekarang adalah keselamatan dan kesihatan semua pihak daripada dijangkiti wabak COVID-19.
"Untuk tahun ini kita tidak membuat apa apa persembahan lagi sebab kita pun risau tentang COVID-19. Memang kita takut, walaupun kita bukan yang sudah dijangkit, tetapi kita pun takut ada apa-apa terjadi.
"Kita tidak boleh hendak tanggung risiko. Maka selepas mesyuarat kita sudah membuat keputusan untuk batalkan setiap persembahan yang kita dapat tahun ini," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini.
Bagi Bendahari persatuan, Heng Tan Kooi, dia mengakui kesan COVID-19 amat dirasai kerana ia menjejaskan hampir 100 peratus pendapatan persatuan yang kebanyakannya datang daripada persembahan tarian singa dan naga sewaktu sambutan Tahun Baharu Cina.
Katanya, selama 22 tahun terlibat dalam industri tarian singa dan naga, ini pertama kali tidak ada persembahan semasa Tahun Baharu Cina.
"Awal bulan setiap tahun selalunya kita terima tempahan. Seperti tahun lepas dari Yayasan Sultanah Bahiyah sempena perayaan Tahun Baharu Cina mereka ada menyumbang 'ang pow' kepada golongan miskin.
"Mereka menjemput persatuan kami untuk mempersembahkan tarian singa. Ini (jemputan) terbesar bagi kami selain tempahan dari rumah ke rumah. Atas sebab kena patuhi SOP, kita kehilangan tempahan seperti itu," katanya.
SOP PKP | Lebih 60 tempahan tarian singa terpaksa dibatalkan
Sementara itu bagi jurulatih tarian singa, Lim Chee Hong, terdapat beberapa peralatan dan set tarian singa yang baharu ditempah untuk persembahan tahun ini.
Antaranya Liu Bei, Guan Yu, Zhang Fei dan Zhao Yun yang telah siap ditempah dari pembuatnya di Johor dan Pulau Pinang.
"Untuk menyambut Tahun Baharu Cina ini kita sudah menyediakan beberapa set yang baharu, semua anak buah kita pun sudah bersedia hendak keluar, bersemangat.
"Tetapi tiba-tiba dilanda COVID-19, terpaksa kita mengikuti SOP kerajaan maka terpaksa kita menolak semua janji temu kita," katanya.
Rabu lalu Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memaklumkan persembahan tarian singa dan naga tidak dibenarkan untuk sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Perkara tersebut antara tujuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengekang penularan COVID-19.
Selain tarian itu, perarakan tanglung, chingay, persembahan opera Cina atau pertunjukan pentas juga adalah tidak dibenarkan.
#ismail sabri yaakob #SOP #Majlis Keselamatan Negara #perintah kawalan pergerakan #PKP #Tahun Baru Cina #COVID-19 #Tahun Baharu Cina #tarian singa #tarian naga #tempahan ditolak