PKP: Bazar Ramadan di Selangor tidak dibenarkan mulai Sabtu ini - MB

Umavathi Ramayah
Mei 5, 2021 09:07 MYT
Amirudin Shari berpendapat, kerajaan negeri tidaklah bertindak kejam memandangkan pengusaha atau pemilik bazar itu sudah beroperasi kira-kira 25 hari menjelang Jumaat ini. - Gambar hiasan/BERNAMA
SHAH ALAM: Semua operasi bazar Ramadan di Selangor tidak dibenarkan beroperasi mulai Sabtu ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri tidak bertindak kejam dengan mengarahkan penutupan serta-merta memandangkan pengusaha atau pemilik bazar itu sudah beroperasi hampir 25 hari menjelang Jumaat ini.
"Dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan bazar Ramadan tidak dibenarkan, namun semalam Menteri Kanan Pertahanan (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) mengeluarkan arahan dibenarkan.
"Kita telah membuat keputusan semua bazar Ramadan di Selangor tidak dibenarkan mulai Sabtu ini, 8 Mei ini," katanya pada sidang media khas berhubung pelaksanaan PKP di enam daerah di Selangor di sini, pada Rabu.
[SIDANG MEDIA] Perintah Kawalan Pergerakan di Selangor | 05 Mei 2021
Amirudin menambah, tempoh pengoperasian sehingga Jumaat dibenarkan bagi membolehkan pengurus dan pemilik gerai bazar Ramadan untuk menyelesaikan tugasan mereka terutamanya menyelenggara dan menguruskan stok-stok yang mungkin telah mereka kumpulkan pada ketika ini.
Enam daerah di Selangor diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa Khamis ini (6 Mei) hingga 17 Mei, berikutan peningkatan kes jangkitan COVID-19.
#Bazar Ramadan #diarah tutup #Amirudin Shari #Kerajaan Selangor #PKP Selangor #COVID-19 #SOP #Menteri Besar Selangor #ismail sabri yaakob #mirudin Shari #PKP #perintah kawalan pergerakan #Pelaksanaan PKP #Menteri Besar #MCO