Setia berada di sekolah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya untuk memastikan bahan pengajaran dan pembelajaran sampai kepada anak muridnya menerusi dalam talian.

Itu pengorbanan seorang Guru Penolong Kanan Pentadbiran Sekolah Kebangsaan Labang, Sebauh, Bintulu, Mingkul Damu.

Walaupun semua bahan dimuat naik dan dihantar menggunakan aplikasi Whatsapp kepada ibu bapa, namun ada masanya tiada liputan yang baik di sesetengah kawasan itu.

Ini susulan kedudukan sekolah yang jauh di pedalaman dan perkara ini pasti menyukarkan urusan untuk menyampaikan ilmu kepada murid-muridnya.

“Siapa yang tidak mahukan liputan dan akses internet yang baik, bayangkan kalau ada akses yang baik mereka tidak akan membuang masa dan banyak aplikasi dalam talian boleh digunakan.

“Sebagai contoh Google Classroom serta banyak lagi dan cuba bayangkan kalau akses internet di sini mantap, pasti banyak perkara dapat disampaikan kepada mereka,” ujarnya.

Mingkul Damu memilih inisiatif menghantar bahan pengajaran menerusi aplikasi Whatsapp.
Bagi murid yang menetap di rumah panjang, Mingkul akan menghantar sendiri bahan yang disediakan setiap guru mata pelajaran di sekolah tersebut.

Bagi salah seorang murid SK Labang, Nur Nylea Delisha Humaira, pengorbanan gurunya ini pasti dimanfaatkan sebaiknya.

“Bayangkan cikgu sanggup menyediakan dan menghantar sendiri semua latih tubi menerusi aplikasi Whatsapp, jadi sebagai seorang murid, saya perlu hargai usaha ini dengan menyiapkan semua latihan yang diberikan,” kata Nur Nylea.

Pelajar SK Labang komited dalam menyiapkan setiap tugasan yang diberikan.

Sementara bagi bapa yang juga merupakan penghuni rumah panjang, Bujang Michie, inisiatif ini membolehkan anak-anaknya menghargai masa yang ada untuk mengulang kaji pelajaran.

“Memang berkesan inisiatif seperti ini, anak-anak saya tidak membuang masa melakukan sesuatu yang tidak berfaedah malah mempersiapkan mereka untuk kembali ke sekolah semula nanti.

“Tetapi satu cabaran terbesar buat kami ialah liputan yang kurang memuaskan dan akses kepada internet tidak sebaik di kawasan-kawasan bandar,” ujarnya.