Keputusan yang dibuat oleh mahkamah tidak sepatutnya dipertikaikan kerana dibimbangi akan mengundang "contempt of court" atau menghina mahkamah.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang- undang dan Parlimen), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sesuatu keputusan yang dibuat mahkamah berdasarkan fakta dan pertuduhan ke atas sesuatu kes yang dibawa.

“Pertamanya, kita tidak boleh pertikai keputusan mahkamah dan undang-undang, kalau kita pertikai keputusan mahkamah itu sebagai contempt of court, hina mahkamah, itu asas yang kedua satu kesalahan yang dilakukan walaupun undang-undang sama kadang-kadang fakta berbeza.

“Satu kejadian berlaku misalnya bawah satu undang-undang sama ada teruk ada biasa, itu pertimbangan mahkamah dan keputusan berdasarkan fakta,” katanya.

Takiyuddin berkata demikian ketika mengulas kritikan netizen di media sosial yang mempersoalkan hanya hukuman denda dikenakan ke atas Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).

Tegas Takiyuddin lagi, di dalam mahkamah, semua fakta, undang-undang akan menjadi pertimbangan hakim atau majistret dalam membuat keputusan.

Dr Noor Azmi dan Razman dikenakan hukuman denda RM1,000 di atas kesalahan hadir bersama-sama dalam jamuan di sebuah Maahad Tahfiz di Lenggong, Perak baru-baru ini.

Dalam keputusan yang dibuat Mahkamah Majistret Gerik pada 28 April lepas itu juga menetapkan hukuman penjara sebulan sekiranya mereka gagal membayar denda yang dikenakan.

Mereka didakwa melanggar Peraturan 6(1) Peraturan- peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2020.