PKP: SKM terima 493 permohonan kebenaran beroperasi

Astro Awani
Julai 9, 2021 05:25 MYT
Tiga kategori koperasi yang boleh membuat permohonan beroperasi daripada SKM adalah yang di bawah sektor perkhidmatan kewangan iaitu Co-opbank, koperasi kredit dan Ar-Rahnu.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menerima 493 permohonan daripada sektor koperasi dan bukan koperasi yang tergolong dalam kategori berkenaan koperasi untuk meneruskan aktiviti ekonomi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Bahagian Penyeliaan dan Tadbir Urus SKM, Ibrahim Kasah berkata, tiga kategori koperasi yang boleh membuat permohonan beroperasi daripada SKM adalah yang di bawah sektor perkhidmatan kewangan iaitu Co-opbank, koperasi kredit dan Ar-Rahnu.
"Daripada jumlah permohonan itu, sebanyak 301 permohonan diluluskan iaitu dua permohonan daripada Co-opbank termasuk Co-opbank Pertama dan Bank Rakyat, 211 koperasi kredit dan 88 Ar-Rahnu untuk beroperasi.
"Permohonan aktiviti ekonomi itu bagaimanapun perlu mendapat kelulusan menerusi sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang dikelolakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum mendapat kelulusan SKM.
"Bagaimanapun, bagi sistem ini, kami menolak sejumlah 192 permohonan yang tidak layak kerana bukan dalam kategori, koperasi tidak berdaftar, koperasi atau syarikat memberi maklumat salah.
"Permohonan bukan kategori koperasi itu bermaksud koperasi yang tidak menjalankan aktiviti Co-opbank, kredit atau Ar-Rahnu.
"Sehingga kini, permohonan yang paling tinggi diluluskan adalah koperasi di sekitar Wilayah Persekutuan dengan jumlah 117 permohonan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
BACA: SKM saran kerajaan buka peluang koperasi sertai GLC
BACA: Program Transfer bantu pulih ekonomi koperasi terjejas - SKM
Kata Ibrahim, SKM melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan koperasi bersesuaian menjalankan aktiviti ekonomi semasa PKP.
Ujarnya, SKM turut mempunyai senarai nama koperasi yang mempunyai aktiviti yang dibenarkan dan prosedur operasi standard (SOP) dipersetujui oleh Medac untuk koperasi beroperasi sepanjang PKP 3.0.
"Bagi sektor pemborongan dan peruncitan, sektor perladangan dan asas tani serta sektor pembinaan, perlu memohon dengan kementerian yang berkenaan untuk membolehkan koperasi meneruskan aktiviti dan beroperasi.
"Sebagai contoh, koperasi yang menjalankan aktiviti pemborongan dan peruncitan perlu memohon ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Malaysia (KPDNHEP) manakala aktiviti perladangan ke Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia dan sebagainya," katanya.
Ibrahim berkata, terdapat beberapa perbezaan bagi kaedah pengoperasian koperasi sepanjang PKP 1.0 dan PKP 3.0.
Tambahnya, SKM turut menubuhkan jawatankuasa khusus menerusi SKM negeri serta bahagian penyeliaan dan tadbir urus untuk memantau koperasi yang beroperasi semasa PKP 3.0 bagi memastikan SOP ditetapkan dipatuhi.
"Perbezaan adalah dari segi tempoh masa operasi di mana pada PKP 1.0, tempoh masa adalah dari jam 9 pagi sehingga 4 petang manakala pada PKP 3.0 waktu dipendekkan bermula jam 9 pagi sehingga 2 petang.
"Di samping itu, terdapat juga perbezaan peratusan kakitangan koperasi yang bertugas semasa PKP.
"Pihak MITI turut memberikan kebenaran kepada SKM dengan kerjasama Medac untuk meneliti dan meluluskan permohonan setiap koperasi kredit, Co-opbank dan Ar-Rahnu melalui sistem CIMS 3.0 bagi PKP ini," jelasnya.
#MITI #SOP #GLC #KKM #COVID-19 #MKN #Kementerian Kesihatan #Kementerian Dalam Negeri #ekonomi #bank #usahawan #koperasi #Suruhanjaya Koperasi Malaysia #perintah kawalan pergerakan #Medac #pemborongan #PKP 3 0 #kakitangan koperasi #masa operasi #SKM