PKP: Solat Jumaat hanya 30 jemaah di Wilayah Persekutuan - JAWI

Bernama
Januari 12, 2021 16:04 MYT
Masjid-masjid dan surau-surau Jumaat di Wilayah Persekutuan hanya boleh membenarkan kehadiran 30 jemaah sahaja bagi menunaikan solat Jumaat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Solat Jumaat di semua masjid dan surau Jumaat di Wilayah Persekutuan dibenarkan sehingga 30 orang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Mohd Ajib Ismail berkata, ketetapan berkenaan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Dalam satu kenyataan beliau berkata, sepertimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin semalam, solat fardu pula hanya dibenarkan dengan maksimum lima jemaah, yang terdiri daripada ahli jawatankuasa dan pegawai-pegawai masjid.
Selain itu, katanya, laungan azan bagi solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa, namun semua aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan perlu ditangguhkan buat sementara waktu.
"Aktiviti pengimarahan seperti kuliah, ceramah dan seumpamanya boleh dilaksanakan secara dalam talian atau FB Live yang dibuat di kediaman penceramah dan dikongsikan kepada ahli kariah," katanya.
Beliau turut mengingatkan pengurusan masjid untuk mematuhi dan memastikan Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan diikuti termasuk mewujudkan kaunter di pintu masuk untuk memeriksa suhu badan, sanitasi dan merekod kehadiran jemaah.
Selain itu, beliau mengingatkan pengurusan masjid untuk kerap melakukan sanitasi di ruang solat dan kawasan sekitar dan memastikan petugas mencukupi untuk mengawal jemaah dari segi pematuhan SOP.
- BERNAMA
#Solat Jumaat #solat fardu #masjid #surau jumaat #Wilayah Persekutuan #perintah kawalan pergerakan #Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan #JAWI