Tiada tindakan lanjut dikenakan terhadap Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan sekumpulan individu termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal Datuk Seri Ahmad Said, yang sebelum ini dikatakan melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Terengganu Datuk Roslee Chik berkata pihaknya telah menerima notis tiada tindakan lanjut (NFA) dari Jabatan Peguam Negara berkenaan perkara berkenaan, pada Selasa.

"Polis menjalankan siasatan, bila (siasatan) sudah siap, oleh kerana kes melibatkan VVIP (orang kenamaan) kita hantar ke Jabatan Peguam Negara. Jadi Jabatan Peguam Negara telah buat keputusan 'no case against them'. Menteri Besar (Ahmad Samsuri) ketika itu menjalankan tugas rasmi," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Pada 17 April lepas, foto menunjukkan Ahmad Samsuri berkunjung ke rumah Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu telah tular di media sosial, dan turut tular ialah foto kedua-dua pemimpin itu bergambar dengan sekumpulan lelaki dipercayai sukarelawan yang bertugas untuk mengagih bantuan kepada rakyat.

Dua hari selepas itu Ahmad Samsuri tampil ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu untuk memberi keterangan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 6 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara di ibu negara, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun mengesahkan bahawa pejabat peguam negara telah mengklasifikasikan kes itu sebagai "NFA" (tiada tindakan seterusnya).

"Ya, kerana tidak cukup bukti yang mereka melanggar PKP," katanya semasa dirujuk bagi mendapatkan pengesahan berhubung keputusan pejabat peguam negara untuk tidak mendakwa mereka.

-- BERNAMA