PKPB: Berani lolos ke kampung, beranilah tanggung akibatnya - Ismail Sabri

Astro Awani
Mei 26, 2020 07:19 MYT
Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak menghalang mereka malah menggalakkan mereka pulang semula ke Lembah Klang untuk bekerja. Gambar fail
Mereka yang meloloskan diri dengan merentas negeri untuk balik ke kampung menyambut Aidilfitri terutama kakitangan awam, dinasihatkan kembali bertugas jika tidak mahu kehilangan pekerjaan.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika sebelum ini mereka berani melanggar arahan dengan pulang ke kampung, maka mereka juga perlu berani menanggung akibatnya.
“Kepada mereka, saya nasihatkan baliklah, jangan tidak balik kerana hari ini, KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) telah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka yang gagal bertugas selepas cuti akan diambil tindakan tatatertib.
“Jadi jika mereka berani buat, mereka kena berani tanggunglah. Kalau mereka lolos dulu, mereka 'cekaplah'... tapi kalau mereka balik dan tak boleh lolos, akan diambil tindakan oleh polis, bayar sahajalah kompaun,” katanya.
Jelasnya, kerajaan tidak menghalang mereka malah menggalakkan mereka pulang semula ke Lembah Klang untuk bekerja.
Beliau berkata, jangan kerana takut dikenakan tindakan serta perlu membayar kompaun, mereka tidak pulang dan akhirnya kehilangan pekerjaan.
#Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob #ismail sabri yaakob #kerajaan #keselamatan #Lembah Kelang #menteri #Menteri Kanan Keselamatan #polis