PKPB di Sarawak dilanjut sehingga 1 Mac

Nickyson Nyambar
Februari 13, 2021 12:39 MYT
Arahan untuk melanjutkan PKPB di Sarawak ini adalah merupakan langkah proaktif JPBN menangani penularan wabak COVID-19 di negeri berkenaan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh Sarawak akan dilanjutkan bermula 15 Februari sehingga 1 Mac 2021.
Perkara itu dimaklumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Sabtu.
Antara perkara lain yang turut diputuskan oleh JPBN Sarawak adalah berkenaan dengan arahan untuk tidak membenarkan pergerakan antara zon dalam negeri itu, melainkan mendapat kebenaran dan permit daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Manakala, bagi kawasan yang berstatus zon merah, aktiviti ekonomi seperti pasar tani, pasar malam dan bazar larut malam juga tidak dibenarkan beroperasi.
Untuk rekod, 11 daerah di negeri itu kekal berstatus merah dengan 1,864 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas.
Daerah-daerah berkenaan adalah Julau, Subis, Lundu, Beluru, Kapit, Song, Dalat, Bintulu, Kanowit dan Sibu.
Dalam perkembangan yang sama, Sarawak pada hari ini mencatatkan 152 kes positif COVID-19 baharu.
Menurut JPBN Sarawak, Sibu kekal mencatatkan angka kes tertinggi di negeri itu dengan 45 kes dilaporkan pada hari ini, diikuti Subis (33) dan Kapit (23).
Daerah lain, Julau dengan 11 kes positif COVID-19, Song (10), Bintulu dan Miri, masing-masing lapan kes.
Bakinya, empat kes dicatatkan di Beluru, Kuching (tiga), Dalat (dua) dan Samarahan, Bau, Belaga serta Meradong pula satu kes.
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sarawak meningkat kepada 6,425 kes.
#PKPB Sarawak #JPBN Sarawak #Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak #Pengerusi JPBN Sarawak #Majlis Keselamatan Negara #pandemik #COVID-19